Oh! Negara
Bekas ADUN Tronoh, Paul Yong dipenjara lapan tahun dan dua sebatan selepas rayuan terakhirnya ditolak.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong akhirnya diperintah jalani hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan selepas rayuan terakhirnya ditolak Mahkamah Persekutuan. Keputusan itu sekali gus menamatkan perjuangan undang-undangnya yang sudah berlarutan sejak enam tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebulat suara menolak rayuan Paul, 55 tahun, untuk mengetepikan sabitan bersalah. Hakim mengekalkan hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan yang diputuskan sebelum ini.
Sebaik keputusan dibacakan, Paul yang berada di kandang tertuduh kelihatan sugul. Isteri dan anak-anaknya juga tidak dapat menahan rasa sedih sebelum memegang tangan Paul yang kemudian dibawa ke penjara serta-merta.
Kes bermula sejak 2019…

Paul pertama kali didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada 23 Ogos 2019 atas pertuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun ketika kejadian. Serangan itu berlaku di sebuah bilik di rumahnya pada 7 Julai 2019 sekitar jam 8.15 hingga 9.15 malam.
Kes kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada 2020 dan mula dibicarakan pada April 2021. Sebanyak 23 saksi pendakwaan termasuk dua saksi terlindung tampil memberi keterangan. Pada 7 Disember tahun sama, Paul diperintah membela diri.
Hukuman asal 13 tahun penjara…

Pada 27 Julai 2022, Mahkamah Tinggi mendapati Paul bersalah dan menjatuhkan hukuman 13 tahun penjara serta dua sebatan. Namun, pada 1 Mac 2024, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan bersalah tetapi mengurangkan tempoh penjara kepada lapan tahun.
Tidak berpuas hati, Paul mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan pada 5 Mac 2024. Tetapi hari ini, rayuan terakhirnya ditolak dan hukuman lapan tahun bersama sebatan tetap dikekalkan.
Dalam prosiding, Paul diwakili barisan peguam terkenal iaitu Datuk Rajpal Singh, Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Salim Bashir. Manakala pendakwaan pula dikendalikan oleh dua Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Amril Johari dan Mohd Fuad Abd Aziz.
Pssttt! Kisah ni jadi pengajaran buat kita semua yang kedudukan dan jawatan bukan alasan untuk terlepas dari undang-undang. Apa yang kita buat hari ni, tetap akan dipersoalkan esok. Jadi, berhati-hatilah dalam setiap tindakan, sebab satu kesilapan boleh ubah seluruh hidup.
Kredit: Sinar Harian
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.
Hafizal adalah penulis sepenuh masa di Oh! Media yang sentiasa hadir menemani anda, terutama di saat-saat lewat malam. Untuk mendapatkan berita terkini dan cerita viral, jangan lupa cari nama Hafizal—sentiasa ada untuk menghibur dan menginformasikan anda!




