am@hmetro.com.my
Johor Bahru : Sebuah syarikat pembekal produk vape didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan mengedar produk berkenaan yang dibungkus dan dilabel menyerupai alat mainan.
Majistret Nur Fatin Mohamad Farid menjatuhkan hukuman itu selepas syarikat Romantic One Empire yang diwakili pemiliknya, Pun Jia Lin, 25, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.
Mahkamah turut memerintahkan waran melevi dikeluarkan ke atas syarikat itu sekiranya gagal membayar denda berkenaan, iaitu waran menyita harta syarikat mengikut jumlah denda yang dikenakan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, orang kena saman (OKS) itu didakwa mengedar produk pengganti tembakau atau vape yang dibungkus dan dilabel tidak mengikut kehendak yang ditetapkan iaitu menyerupai permainan atau makanan.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah premis menjual vape di Jalan Sri Pelangi 3, Taman Pelangi, di sini, kira-kira jam 10.20 malam, 6 Mac lalu.
Bagi perbuatan itu, OKS didakwa mengikut Seksyen 15 Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 dibaca bersama Peraturan 8(1)(a) Peraturan-peraturan Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Pembungkusan dan Pelabelan) 2024.
OKS boleh didenda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Alina Anak Tangga, manakala OKS tidak diwakili peguam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




