mhafis@mediaprima.com.my
Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius insiden yang tular menerusi media sosial membabitkan cubaan menghalang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan tugas semasa mengawal perhimpunan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat.
KDN dalam kenyataan berkata, pihaknya menyokong penuh tindakan PDRM yang tegas serta berlandaskan undang-undang demi menjamin ketenteraman dan keselamatan negara.
Menurutnya, sekitar 12 tengah hari tadi, perhimpunan aman dihadiri lebih 50 peserta berlangsung di lokasi berkenaan.
“Keadaan menjadi tegang apabila terdapat cubaan menutup aliran trafik di Jalan Tun Razak, menyebabkan kekecohan dan seorang anggota polis mengalami kecederaan ketika menjalankan tugas.
“Susulan itu, PDRM menahan dua lelaki tempatan berusia 23 dan 32 tahun bagi membantu siasatan kerana menghalang tugas penjawat awam.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap keselamatan dalam negeri, KDN menegaskan bahawa hak berhimpun secara aman adalah dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan.
“Namun, hak terbabit mesti dilaksanakan secara tertib, berhemah dan mematuhi undang-undang tanpa menjejaskan keselamatan awam, mengganggu ketenteraman masyarakat, atau menghalang anggota penguat kuasa menjalankan tugas rasmi.
“KDN menyokong penuh tindakan PDRM yang tegas serta berlandaskan undang- undang demi menjamin ketenteraman dan keselamatan negara,” katanya.
KDN melalui PDRM sentiasa sedia memberikan kerjasama keselamatan kepada mana-mana penganjur yang ingin melaksanakan perhimpunan secara aman dengan mematuhi peraturan.
“Pada masa yang sama, KDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang melanggar undang-undang, mengganggu ketenteraman awam atau mencetuskan ancaman keselamatan.
“Sehubungan dengan itu, KDN menyeru semua pihak mematuhi peraturan dan undang-undang ketika berhimpun serta bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa.
“KDN kekal komited untuk memperkukuh peranan menjaga keselamatan dalam negeri, melindungi kepentingan rakyat dan memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya.
Harian Metro hari ini melaporkan dua lelaki ditahan kerana bertindak menghalang tugas polis membuat kawalan keselamatan dalam perhimpunan menyokong Global Sumud Flotila (GSF) di hadapan kedutaan Amerika Syarikat hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




