Misi GSF: Kapal Sirius, Estrella, Alma, Huga masuk Pelabuhan Ashdod di Israel

Misi GSF: Kapal Sirius, Estrella, Alma, Huga masuk Pelabuhan Ashdod di Israel

lokman.khairi@hmetro.com.my

Sepang: Empat kapal Global Sumud Flotilla (GSF) iaitu Sirius, Estrella, Alma dan Huga disahkan sudah memasuki Pelabuhan Ashdod di Israel.

Sirius membawa empat sukarelawan dari Malaysia iaitu Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli dan Rusydi.

Manakala Estrella pula membawa PU Rahmat, Norhelmi, Mohd Asmawi dan Norazman.

Alma dinaiki Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil, sementara Zizi Kirana di atas kapal Huga.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, pihaknya menjangkakan kemungkinan sebahagian daripada delegasi sudah dipindahkan ke darat.

Pada masa yang sama, katanya, pasukan perundangan GSF di Amman, Jordan berada dalam keadaan siap siaga untuk menjadi wakil dalam sebarang proses soal siasat dan tindakan susulan yang diperlukan.

“Petang tadi kita telah pun berhubung melalui barisan peguam Malaysia yang sekarang ini berada di Jordan.

“Cuma pihak The Legal Centre for Arab Minority Rights in Israel (ADALAH) belum dipanggil untuk masuk menjadi wakil,” katanya pada sidang media harian di Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Central Warehouse, di sini, malam ini.

Beliau berkata, sebarang sesi soal siasat mestilah ada wakil peguam ADALAH sebagaimana dimaklumkan ketika latihan sebelum pelayaran.

“Mereka (peserta GSF) tidak akan memberi jawapan sekiranya mereka tidak melihat barisan peguam yang kita lantik mengikut kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Terdahulu, Sani Araby berkata, barisan peguam Malaysia diketuai Tuan Azril dari Centre for Human Rights Research & Advocacy (CENTHRA) akan menyelaras langkah perundangan membabitkan delegasi Malaysia serta keseluruhan flotila.

“Sekretariat GSF bekerjasama dan melantik ADALAH sebagai wakil rasmi perundangan khususnya untuk delegasi Malaysia berdepan situasi soal siasatan dan tahanan,” katanya.

Terdahulu beliau mengesahkan bahawa kesemua 23 sukarelawan warga tempatan yang menyertai GSF ditahan tentera Israel, setakat jam 4.25 petang waktu Malaysia, hari ini.

“Perkara itu terjadi selepas 20 jam dari tempoh berlaku lintasan intimidasi pertama.

“Semua 23 peserta Malaysia diisytiharkan ditahan mengikut kepada prosedur operasi standard (SOP) bahawa kita terputus hubungan dengan mereka dan ada visual mereka telah pun ditahan oleh pihak Pasukan Pertahanan Israel (IDF), ” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top