Shah Alam: Penyanyi Datuk Nora Ariffin optimis puteri kesayangan, Dahlia, 21, tahu membezakan perkara buruk dan baik dalam hidup.
Justeru, Nora atau nama sebenar, Wan Norafizah Ariffin, 52, berkata, sebagai ibu, dia hanya mampu berdoa dan menasihatkan yang baik-baik buat Dahlia yang ketika ini memilih untuk tidak lagi berhijab.
“Dia sudah baligh pun. Dia tahu apa yang baik atau tidak. Kita cuma nasihat dan keputusan semua pada dia.
“Tetapi, saya yakin sebagai anak yang ada ilmu agama, suatu masa nanti, dia akan nampak sendiri jalan. Insya-Allah… Kita doa sahaja, anak-anak begitulah,” katanya.
Nora mengakui tindak-tanduk Dahlia dianggap antara ujian yang perlu dihadapi sebagai seorang ibu. Pada masa sama, beliau cuba menjauhkan diri daripada membaca kecaman yang mampu memberi kesan kepada emosi.
“Kami kurang baca komen netizen. Kalau baca pun, sikit-sikit sahaja. Apa-apa pun, sebagai ibu, semua orang ada anak. Semua orang akan diuji dengan anak-anaknya.
“Jadi, saya mohon doa dan minta yang baik-baik. Sebagai ibu saya selalu berkomunikasi dan nasihat dengan cara baik. Itu saja yang terbaik bagi saya. Perkara ini sekejap sahaja… Orang mudakan,” katanya.
Nora berkata, Dahlia berada dalam keadaan baik. Beliau juga bersyukur anak-anak saling memahami.
“Kami baik-baik sahaja. Alhamdulillah, kami selalu berhubung dan semuanya baik. Kita faham situasi dan dia (Dahlia) pun tiada masalah sangat.,, Syukur,” katanya.
Baru-baru ini, ketika menghadiri Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-24 di Genting Highlands, Pahang, Dahlia tampil tanpa hijab.
Dahlia dilapor mendakwa perubahan penampilan itu sebagai suatu perjalanan baharu dan mahu memahami agama dengan lebih mendalam.
Keputusan menanggalkan tudung selepas 15 tahun berhijab didakwa Dahlia disokong keluarga termasuk ibu dan abangnya.
Dahlia adalah anak perempuan kepada Nora dan komposer Allahyarham Johan Nawawi.
Nora mendirikan rumah tangga dengan Johan pada 1992. Arwah Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung.
© New Straits Times Press (M) Bhd




