georgie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Nadzmi Adhwa, 32, meminta segelintir pihak berhenti mempertikai dan mempersoal penyertaan aktivis-aktivis termasuk isterinya Ardell Aryana, 35, dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF).
Nadzmi atau nama sebenarnya Nadzmi Adhwa Nor Adzmi berkata sebaiknya menyeru orang ramai terus doakan keselamatan peserta misi kemanusiaan ke Gaza itu kerana mereka ke sana bukan untuk berjalan-jalan.
“Dunia begitu puji rakyat Malaysia yang berada atas kapal bagaimana mereka sangat menjaga solat dan menjaga aurat mereka. Yang tak naik kapal kat sini pulak macam tahu sangat apa jadi dalam kapal tu.
“Bukan minta apa pun. Minta doa saja. Ingat mereka naik kapal itu pergi jalan-jalan?,” katanya.
Nadzmi juga kecewa apabila terdapat pihak yang bercakap sesuka-hati tanpa memikirkan hati ahli keluarga peserta GSF. Sebaliknya sibuk mempersoal keberadaan mereka di sana.
“Awak boleh berkata apa apa sahaja sebab bukan keluarga awak yang ada dalam perjuangan itu. Apa salahnya kita berdoa yang baik baik sahaja untuk mereka?
“Sudah sudahlah mempertikaikan dan mempersoalkan, hanya yang tahu sahaja tahu,” katanya.
Terdahulu, isu penyertaan wanita dalam GSF ke Gaza menjadi topik perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial tempatan susulan penahanan sukarelawan termasuk peserta wanita dari Malaysia.
Isu itu diperkatakan dan menyentuh mengenai hukum mereka menyertai misi tanpa ditemani mahram.
Susulan itu, pendakwah selebriti, PU Amin menerusi perkongsian di Reset Jiwa Suria FM menjelaskan hukum asal sememangnya tidak membenarkan wanita bermusafir tanpa mahram.
Namun, PU Amin memaklumkan bahawa terdapat pengecualian diberikan kepada kaum wanita berdasarkan beberapa situasi dibenarkan merujuk kepada para ulama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




