Bank Muamalat perkukuh ekosistem pelaburan emas

Bank Muamalat perkukuh ekosistem pelaburan emas

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Bank Muamalat Malaysia Berhad memperkukuh kedudukan dalam pasaran pelaburan emas menerusi tiga produk utama yang ditawarkan kepada pelanggan, sekali gus mengukuhkan ekosistem kewangan berasaskan emas di negara ini.

Pengarah Bahagian Perbankan Runcit Bank Muamalat, Mohammad Zalman Jalil berkata, emas kekal menjadi instrumen pelaburan selamat terutama ketika berdepan inflasi dan ketidaktentuan geopolitik global.

Justeru itu, pihaknya mahu mendidik lebih ramai pelanggan supaya mula melabur dalam emas pada hanya serendah RM10.

“Emas tidak pernah hilang nilainya dan terbukti menjadi lindung nilai terhadap inflasi dan apa yang kami lakukan adalah menyediakan ekosistem menyeluruh iaitu daripada simpanan, pelaburan, zakat, sehingga kemudahan kecairan melalui Ar-Rahnu dan cagaran pembiayaan.

“Uniknya, Bank Muamalat satu-satunya bank Islam yang menawarkan ekosistem emas lengkap ini dan holistik ini,” katanya kepada Bisnes Metro.

Sejak 2016, Bank Muamalat sudah melancarkan Muamalat Gold-i (MG-i), akaun emas yang disokong emas fizikal dengan ciri simpanan percuma tanpa caj kustodian dan pelanggan juga boleh menukar akaun emas kepada emas fizikal bermula lima gram hingga satu kilogram.

Mohammad Zalman berkata, bagi pelabur jangka pendek, bank menawarkan EasiGold, manakala pelabur berpengalaman boleh memilih Muamalat-i Gold Fund (MiGOLD) iaitu instrumen gabungan emas dengan dana unit amanah dan Exchange-Traded Funds (ETF) bagi potensi pulangan lebih kompetitif.

Menurutnya, lebih 77 peratus pelanggan bank adalah mereka yang menyimpan emas bagi tujuan jangka sederhana dan panjang, antaranya untuk pendidikan anak, pembelian rumah serta perancangan menunaikan haji.

Selain itu, pelanggan turut ditawarkan kemudahan Ar-Rahnu Muamalat bagi mendapatkan tunai segera menggunakan emas simpanan sebagai cagaran, dengan kadar pembiayaan serendah 3.05 peratus setahun dan margin sehingga 80 peratus daripada nilai emas semasa.

“Kami mahu mendidik masyarakat bahawa pelaburan emas bukan sekadar membeli fizikal untuk disimpan, sebaliknya ia boleh dimanfaatkan sebagai sebahagian daripada perancangan kewangan jangka panjang.

“Semua golongan boleh mula melabur dengan hanya RM10 dan berkembang kepada portfolio lebih besar, tanpa perlu risau mengenai keselamatan penyimpanan emas,” katanya.

Bank Muamalat kini melihat peningkatan permintaan terhadap pelaburan emas seiring kesedaran masyarakat, malah bakal melancarkan program rujukan pelanggan tahun depan sebagai strategi menambah pemilikan akaun emas baharu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top