Hayati erti sebenar Aidilfitri – Aishah

Hayati erti sebenar Aidilfitri – Aishah

farihad@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membataskan perkumpulan keluarga tidak sepatutnya dijadikan alasan meraikan Aidilfitri dalam suasana suram.

Meluahkan rasa hairan dengan sikap segelintir pihak yang seolah-olah hilang pertimbangan hanya kerana tidak dapat pulang ke kampung, penyanyi ‘senior’, Aishah mengajak semua pihak menghayati erti sebenar Hari Raya dari sudut pandangan Islam.

“Beraya dalam suasana PKP ini sebenarnya mengajak kita kembali

kepada makna sebenar sambutan Aidilfitri iaitu meraikan kemenangan dalam melawan hawa nafsu daripada segenap segi.

“Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Ramai sanggup melanggar arahan merentas negeri semata-mata untuk pulang beraya di kampung.

“Apalah gunanya selama sebulan kita mendidik jiwa dengan perkara murni tetapi dimusnahkan dengan sikap tidak bertanggungjawab seperti itu?

“Apa yang saya lihat, sambutan Aidilfitri hari ini lebih kepada budaya semata-mata hingga ada yang sampai hidupnya tertekan apabila bajet tidak cukup hendak sambut raya,” katanya kepada BH Online.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Janji Manismu ini berharap rakyat dapat mematuhi arahan kerajaan demi kebaikan semua pihak.

“Virus COVID-19 sangat berbahaya. Kita jangan ambil mudah perkara itu. Mungkin virus itu tidak nampak di depan mata menyebabkan ramai antara kita ambil ringan lalu sanggup bertindak di luar kawalan.

“Kalau kita benar sayangkan keluarga kita, bersabarlah. Janganlah kerana sikap degil kita, akhirnya kita menjadi punca virus itu menjangkiti mereka.

“Berkorbanlah hari ini supaya pada masa akan datang, kita tidak perlu melalui situasi seperti ini lagi,” katanya.

Aishah atau nama sebenar, Wan Aishah Wan Ariffin mengaku Syawal kali ini berbeza selepas kakak kesayangan, Wan Latifah yang menjadi satu-satunya ahli keluarganya yang tinggal, menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit kencing manis, baru-baru ini.

“Sebelum ini, dua orang abang saya terlebih dulu pergi menghadap Ilahi dan disusuli dengan kakak.

“Tinggallah saya seorang… Kehilangan mereka menyedarkan saya betapa singkatnya hidup ini.

“Hubungan saya dengan arwah kakak sangat rapat. Kebetulan Mac lalu, kami menginap di hotel yang sama di Shah Alam.

“Arwah menginap di hotel kerana rumahnya sedang diubahsuai. Saya pula menjalani latihan Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-35. Maka, keraplah kami habiskan masa bersama.

‘Jadi, raya kali ini berbeza dengan ketiadaannya,” katanya yang meraikan Aidilfitri bersama suami dan dua anak lelakinya di Ampang, Selangor.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top