Lelaki cipta rekod terpantas untuk berbasikal naik 686 anak tangga Menara Eiffel

Lelaki cipta rekod terpantas untuk berbasikal naik 686 anak tangga Menara Eiffel

Paris: Pengayuh basikal dan pempengaruh media sosial, Aurelien Fontenoy, menjadi atlet terpantas yang pernah mendaki ke tingkat dua Menara Eiffel di Perancis dengan menggunakan basikal lasak, kata pengendali monumen itu pada 3 Oktober lalu.

Dalam satu kenyataan, Societe d’Exploitation de la Tour Eiffel berkata, Fontenoy pada 2 Oktober lalu menaiki 686 anak tangga monumen itu untuk sampai ke platform tingkat dua iaitu tingkat terakhir yang boleh diakses melalui tangga, dalam masa 12 minit dan 30 saat.

Beliau memecahkan rekod sebelumnya dengan kelebihan hampir tujuh minit.

Bagi merebut gelaran itu, kaki Fontenoy tidak dibenarkan sama sekali untuk menyentuh tanah.

“Saya tidak menjangka akan mengambil masa sesingkat ini,” kata Fontenoy selepas kejayaan itu.

Menara Eiffel “benar-benar sebuah simbol, ia benar-benar monumen yang saya ingin daki,” tambahnya.

Sebagai sebahagian daripada projeknya “The Climb”, Fontenoy pada 2021 mengayuh basikal ke puncak Menara Trinity setinggi 140 meter juga di Paris, dan pada tahun ini, dia mendaki Menara TV Tallinn di Estonia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top