nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seorang aktivis Itali, Tommasa Bortolazzi yang juga sukarelawan Global Sumud Nusantara (GSF) memeluk Islam ketika dalam tahanan Israel.
Tommasa ketika ditemu bual wartawan di Istanbul, Turkiye berkata, dia memeluk Islam atas pilihan dirinya sendiri.
“Saya berada dalam misi (GSF) kerana merasakan itu adalah perkara terbaik untuk dilakukan. Saya boleh lakukan untuk rakyat Palestin dan juga negara saya kerana kami tidak boleh melihat pembunuhan beramai-ramai lagi.
“Hari-hari terakhir di dalam penjara, ia sangat sukar dan teman saya (tahanan lain) dari Turkiye dan hampir semuanya adalah Muslim.
“Kami berdepan detik mengerikan. Ada ketakutan kerana kami mempertaruhkan nyawa bersama-sama, namun kami tetap bersatu,” katanya kepada Agensi Anadolu dalam rakaman video yang di muat naik di TikTok agensi berita itu.
Menurutnya, dia merasakan dirinya seperti bayi yang baru lahir selepas memeluk Islam.
“Pagi tadi, semasa mereka (rakan) solat, polis, tentera Israel masuk dan halang mereka (daripada solat). Saya merasakan ada keperluan untuk menentang ini.
“Selepas itu, bersama sahabat, saya mengucap kalimah syahadah. Saya pilih ini (memeluk Islam) untuk diri saya. Rasanya seperti bayi yang baru lahir dan saya sangat gembira,” katanya.
Beliau turut berharap supaya semua negara yang bebas serta negara demokratik akan ‘menikmati’ perjuangan menentang Israel.
Terdahulu, rakaman video memaparkan Tommasa bercerita mengenai pengalamannya memeluk Islam semasa ditemubual wartawan, tular di media sosial, hari ini.
Sementara itu, dalam rakaman video sama, seorang lelaki memaklumkan Tommasa bertanya kepada dia, adakah Tuhan akan menerimanya sebagai Muslim kerana dia bertatu?,”
Lelaki itu kemudian menjawab ya dan memaklumkan bahawa dirinya yang membantu Tommasa mengucap dua kalimah syahadah.
“Semasa di dalam kereta penjara, dia mengulangi (kalimah syahadah) yang saya ucapkan dan dia menjadi Muslim,” kata lelaki itu.
Dalam video itu, Tommasa dilihat memeluk lelaki berkenaan yang dipercayai antara sukarelawan GSF yang ditahan Israel, sejak Khamis lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




