am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Ardell ditarik rambut dengan kasar selain ditumbuk di bahagian muka oleh tentera Israel sehingga mengalami kecederaan ketika rejim terbabit memintas kapal dinaiki sukarelawan itu,” kata peguam Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Fahmi Abd Moin.
Fahmi yang juga antara lima barisan peguam mewakili 23 sukarelawan Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF), mendapat maklumat terbabit selepas berbual bersama Ardell Aryana atau nama sebenarnya, Nurul Hidayah Mohd Amin, di Istanbul, Turkiye, hari ini.
Beliau berkata, turut berdepan pengalaman hitam oleh rejim Zionis ialah beberapa sukarelawan lelaki termasuk Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan (PU Rahmat) yang dipaksa membuka pakaian dengan tujuan untuk memalukan mereka.
“Apa yang baharu saya dapat sedikit sebanyak maklumat sukarelawan GSF sebentar tadi antara perkara yang tidak berperikemanusiaan lain termasuk ada dua, tiga sukarelawan lelaki seperti PU Rahmat diarahkan membuka pakaian.
“Heliza dan Hazwani pula diberikan minuman air paip dari tandas. Dalam penjara, airnya tidak bersih,” katanya kepada BH, di sini.
Selain Fahmi, empat peguam yang juga aktivis undang-undang hak asasi manusia yang mewakili 23 sukarelawan Malaysia terbabit ialah Dir Kheizwan Kamaruddin, Azril Mohd Amin, Ahmad Nazrin Abu Bakar dan Luqman Mazlan.
Semua 23 sukarelawan Malaysia itu sebelum ini ditahan pihak berkuasa Israel, Khamis lalu sebelum dibawa ke penjara Ketziot, yang terletak di padang pasir Negev.
Pada masa sama, Fahmi berkata, pihak peguam juga bercadang untuk memfailkan hasil siasatan terhadap rejim Israel melalui Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Beliau berkata, dengan adanya semua bukti layanan buruk Israel terhadap sukarelawan ini, tekanan politik boleh dilakukan terhadap rejim Zionis sebelum di bawa ke muka pengadilan.
“Kami akan dapatkan maklumat terperinci apabila pulang ke Malaysia. Apa yang boleh dilakukan terhadap rejim Zionis ialah kita cadang untuk mengambil semua bukti dan keterangan sukarelawan ini.
“Kemudian kita bercadang untuk memfailkan satu laporan kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC).
“Dengan adanya bukti ini kita boleh beri tekanan politik dan desak siasatan terperinci dibuat terhadap rejim Zionis dan failkan siasatan melalui ICC,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




