Pengacara sensasi, Elly Mazlein mengambil keputusan untuk mengenakan hijab bermula malam tadi.
Muncul mengacarakan episod akhir sebuah program realiti dengan imej terbaharu, penampilan sopan dan manis Elly menuai pujian warganet.



Memetik laporan OhBulan!, Elly mendedahkan keputusan untuk berhijab dibuat dengan penuh keikhlasan selepas hatinya tersentuh melihat perjuangan sukarelawan yang terlibat dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Pelantun lagu Janji Kekasih itu menjelaskan keputusan itu tidak pernah dianggap sebagai percubaan semata-mata, sebaliknya lahir daripada kesedaran mendalam selepas mengikuti rapat perkembangan misi berkenaan.
“Saya harap semua dapat mendoakan yang baik untuk saya. Sudah tentu saya sentiasa mahukan yang terbaik buat diri sendiri. Doa kalian amat saya perlukan.
“Bagi saya, tidak wujud istilah cuba-cuba dalam hal ini. Ada kalanya perjuangan orang lain mampu menyedarkan kita. Saya rasa sangat kagum dengan semangat rakan-rakan yang sanggup terlibat dalam misi GSF ke Gaza,” katanya kepada OhBulan!
Tambah wanita yang mesra dengan nama Kak Lina ini, pengorbanan dan keberanian sukarelawan di bumi Palestin memberi makna besar buat dirinya mengenai erti sebenar kekuatan iman dan keutuhan semangat.
“Setiap kali mendengar kisah tentang mereka di Gaza, saya semakin jelas betapa luar biasanya perjuangan mereka. Itu sepatutnya menjadi inspirasi untuk kita semua.
“Terima kasih juga kepada rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan.
“Saya hanya berharap kita semua terus tabah dan sabar menantikan berita gembira daripada usaha mereka. Semoga mereka kembali dengan selamat ke tanah air,” katanya.
Dalam masa sama, pelantun lagu Bungaku Bakawali ini sempat menegur pihak yang masih mempersoalkan usaha murni sukarelawan berkenaan.
“Saya merayu agar hentikan kata-kata yang boleh melemahkan semangat mereka. Apa yang dilakukan itu adalah satu usaha yang baik. Tidak perlu kita menambah beban dengan pertanyaan atau kritikan yang tidak wajar.
“Daripada kita sibuk mempertikai, lebih baik kita doakan mereka yang sedang berjuang dalam misi Global Sumud Flotilla,” katanya.




