mdroji@bh.com.my
Kuching: Lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh di tebing Empangan Hidroelektrik Batang Ai, di Lubok Antu, Sri Aman, petang tadi, ditemui lemas, malam ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat mangsa, Budak Tom, 31, ditemui oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang melakukan selaman di dasar empangan pada jam 7.02 malam.
Menurutnya, mayat mangsa ditemukan di kedalaman lima meter dalam radius 30 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Berdasarkan maklumat daripada isterinya, ketika kejadian kira-kira jam 3.20 petang, mangsa ke tebing empangan berkenaan untuk membuang air.
“Bagaimanapun, mangsa tiba-tiba tergelincir dan terjatuh ke dalam air.
“Mangsa juga dikatakan sempat menjerit meminta tolong sebelum dia hilang dibawa arus,” katanya.
Beliau berkata, bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.29 petang.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong diarah ke lokasi yang terletak 69 kilometer dari balai sejurus menerima panggilan itu.
“Seramai enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Betong turut tiba di lokasi pada jam 5.30 petang untuk memulakan operasi pencarian di dasar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




