asmaini@mediaprima.com.my
KES kematian bayi berusia dua bulan meninggal dunia akibat lemas selepas disyaki ditindih ibunya di Parit, Perak, baru-baru ini jelas membuka mata masyarakat berkenaan isu keselamatan kanak-kanak ketika berada di rumah.
Sering dianggap tempat paling selamat buat kanak-kanak namun hakikatnya pelbagai kecelakaan boleh berlaku di rumah jika ibu bapa tidak mengambil langkah berjaga-jaga.
Keselamatan si kecil bergantung pada tahap keprihatinan ibu bapa dan kelalaian sesaat boleh membawa padah dan penyesalan.
Pakar keselamatan kanak-kanak menegaskan, kemalangan seperti terjatuh, tercekik, lemas atau terdedah kepada objek berbahaya sering berpunca daripada kecuaian kecil di rumah.
Justeru, sebagai ibu bapa mahupun penjaga, banyak langkah pencegahan perlu diambil kira bagi memastikan keselamatan si kecil sentiasa terjaga.
Di Malaysia, boleh dikatakan kebanyakan bayi dan kanak-kanak tidur bersama ibu bapa.
Keadaan ini berbeza dengan negara luar yang kerap mempraktikkan tidur berasingan sejak dari bayi.
Antara langkah pencegahan yang disaran termasuk memastikan ruang tidur bayi bebas bantal, selimut tebal atau mainan lembut yang boleh menjejaskan pernafasan.
Jika tidur sekatil, keselamatan si kecil juga perlu diberi perhatian kerana badan ibu bapa berisiko tertindih mereka kala nyenyak dibuai mimpi.
Selain itu, jika menggunakan katil bayi, pastikan rekaan palangnya tidak membahayakan si kecil.
Apabila bayi mula merangkak, ibu bapa perlu lebih peka kerana si kecil akan meneroka kawasan sekitarnya.
Untuk itu, pastikan soket elektrik ditutup dengan penutup keselamatan, manakala wayar dan kabel perlu disimpan lebih tinggi daripada capaian si kecil.
Dalam pada itu, ruang dapur turut dikenal pasti sebagai kawasan paling berisiko kerana terdapat peralatan tajam seperti pisau, bahan kimia dan peralatan panas.
Justeru, semua peralatan tajam perlu disimpan di dalam kabinet berkunci dan elakkan membawa bayi ketika memasak.
Kawasan bilik air juga tidak boleh dibiarkan tanpa pengawasan kerana si kecil berisiko cedera.
Untuk itu, pastikan tiada air disimpan di dalam baldi walaupun sedikit kerana si kecil boleh tertarik bermain dengannya.
Sementara itu, anda mungkin sibuk bekerja di dapur atau melakukan pelbagai kerja rumah yang lain dan membiarkan anak bermain sendiri di ruang tamu.
Jadi, pastikan persekitaran di ruang tamu adalah tempat yang selamat untuk anak anda bermain sendirian.
Permaidani atau tikar yang tidak melekap pada lantai adalah berbahaya kerana kanak-kanak yang baru berjalan boleh tergelincir dan terjatuh.
Sebagai langkah pencegahan, letakkan alas getah di bawah permaidani.
© New Straits Times Press (M) Bhd




