am@hmetro.com.my
Iskandar Puteri: Sindiket pengedaran dadah didalangi warga tempatan tumpas, susulan beberapa siri serbuan di sekitar Iskandar Puteri pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, dalam serbuan itu pihaknya menahan empat individu berumur lingkungan 24 hingga 41 tahun, termasuk sepasang kekasih.
Katanya, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Iskandar Puteri turut merampas kira-kira 14 kilogram (kg) dadah jenis heroin dan syabu.
“Tangkapan pertama membabitkan pasangan kekasih berumur 24 dan 29 tahun yang juga penagih dadah di Nusa Bistari. Susulan itu, tangkapan kedua dibuat terhadap seorang lelaki tempatan berumur 36 tahun bersama dadah jenis syabu seberat 0.3 gram di Bukit Indah.
“Tangkapan ketiga membabitkan dalang sindiket pengedaran dadah ini yang berjaya diberkas di rumah kedai di Gelang Patah, yang menjadi tempat penyimpanan dadah.
“Dalam serbuan itu kita menjumpai lebih 13kg heroin dan 1.1kg syabu. Nilai rampasan dadah bagi ketiga-tiga serbuan berjumlah RM168,108, manakala sebuah kereta Honda Civic disita,” katanya pada sidang media, hari ini.
Menurut Kumarasan, sindiket itu aktif sejak Mei lalu dan menjual dadah secara bersemuka, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti sumber dadah diperoleh.
Katanya, semakan terhadap suspek mendapati mereka mempunyai rekod kesalahan lampau berkait jenayah serta dadah, dan semua suspek direman sehingga esok.
Sementara itu, dalam kes berasingan beliau berkata, dua lelaki tempatan ditahan pasukan Unit Kereta Peronda (MPV) yang menjalankan rondaan berkala di Jalan Bestari 88, Mutiara Rini di sini.
Katanya, mereka ditahan pada 3.20 pagi Selasa, bersama heroin dan syabu bernilai RM72,000.
“Kedua-dua suspek berusia 23 dan 25 tahun itu dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah sejak lima bulan lalu, dan mereka direman sehingga 12 Oktober.
“Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




