London: Mohamed Salah sememangnya ‘Raja Mesir’ Liverpool, namun gelaran itu itu seakan kehilangan sinarnya ketika dia melalui tempoh hambar yang turut menimbulkan persoalan terhadap komitmennya di atas padang.
Salah sekali lagi gagal mempamerkan aksi terbaik apabila Liverpool tewas 1-2 kepada Chelsea, semalam, perlawanan yang menyaksikan dia mensia-siakan beberapa peluang serta tidak banyak membantu ketika bertahan.
Penyerang berusia 33 tahun itu gagal menjaringkan gol dalam lima daripada tujuh perlawanan Liga Perdana musim ini, dan prestasi hambar itu turut memberi kesan besar kepada pasukan juara bertahan itu.
Kekalahan di Stamford Bridge itu adalah yang ketiga buat Liverpool dalam tempoh lapan hari, sekali gus membolehkan Arsenal memintas mereka di tangga teratas liga.
Setakat ini, Salah hanya menjaringkan tiga gol dan mencipta tiga bantuan gol dalam sembilan penampilan di semua kejohanan musim ini.
Lebih membimbangkan ialah sikap acuh tak acuhnya ketika Liverpool diasak hebat oleh Chelsea.
Tanpa bantuan daripada bahagian serangan, bek kanan Liverpool, Conor Bradley, terpaksa dikeluarkan pada separuh masa pertama selepas menerima kad kuning berikutan kesukaran mengekang asakan pasukan lawan.
Gol kemenangan minit akhir Estevao Willian juga berpunca daripada bahagian kanan Liverpool yang sepatutnya dijaga Salah, apabila Marc Cucurella bebas bergerak untuk melakukan hantaran kepada pemain Brazil itu.
Cucurella mendedahkan bahawa pengurus Chelsea, Enzo Maresca, telah mengarahkan pasukannya memanfaatkan ruang di kawasan yang ditinggalkan Salah.
“Kami tahu Salah sentiasa bersedia untuk melakukan serangan balas, jadi kami berlatih untuk situasi itu dan pengurus memberitahu ruang di bahagian itu mungkin terbuka,” katanya.
Aksi longlai Salah itu turut mencerminkan kemerosotan prestasinya sejak penghujung musim lalu.
Musim lalu, dia menjaringkan 29 gol dalam 38 perlawanan liga, sekali gus merangkul anugerah Kasut Emas EPL dan membantu Liverpool menjuarai gelaran liga ke-20.
Namun sejak kali terakhir menjaringkan dua gol dalam kemenangan 3-1 menentang Southampton pada Mac, pengaruh Salah dilihat semakin pudar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




