am@hmetro.com.my
Hulu Selangor: Buat pesanan pembelian barang melalui panggilan telefon dan serah resit palsu sebagai bukti pembayaran.
Itu taktik licik sekumpulan lima lelaki yang aktif sejak awal Jun lalu dengan menyasarkan pelbagai syarikat sebagai mangsa.
Bagaimanapun, kegiatan sindiket bernama ‘Fly By Night’ itu terbongkar apabila kesemua suspek dicekup polis dalam dua serbuan berasingan di dua lokasi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, terdahulu tiga lelaki warga tempatan berusia 53 hingga 58 tahun ditahan di hadapan sebuah pusat servis kereta di Bandar Mahkota Cheras, Kuala Lumpur jam 2.15 petang 26 September lalu.
Beliau berkata, polis turut merampas sebuah lori dan susulan tangkapan itu berjaya menemukan sebuah gudang simpanan yang terletak di Kajang dipercayai digunakan suspek untuk menyimpan pelbagai barang yang dibeli daripada mangsa.
“Ia juga dijadikan sebagai stor simpanan sehingga sindiket berjaya mendapatkan pembeli untuk barangan terbabit.
“Kemudian pada jam 12.10 tengah hari 1 Oktober lalu, polis melakukan pemeriksaan di gudang terbabit dan menemukan pelbagai barangan seperti pembungkus plastik, baja sawit, barangan dapur dan silinder gas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor, di sini hari ini.
Shazeli berkata, dengan penemuan itu polis berjaya menyelesaikan enam kes penipuan di Selangor yang membabitkan kerugian RM166,338.10 dan dua kes di Perak (RM55,515.70).
Menurutnya, barangan lain yang ditemui adalah penyejuk udara, kompresor udara, minyak enjin, minyak hidraulik jentera berat, cat dan salutan cat penebat haba.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti pemilik barangan terbabit berserta laporan polis yang dibuat oleh kesemua mangsa.
“Pada masa sama, polis juga menahan dua lagi suspek yang terdiri daripada seorang lelaki warga tempatan berusia 52 tahun dan lelaki warga asing berusia 30 tahun.
“Hasil semakan mendapati empat daripada lima suspek mempunyai rekod lampau dadah dan jenayah.
“Saringan air kencing juga mendapati dua daripada mereka positif dadah,” katanya.
Shazeli berkata, sindiket ini juga menggunakan khidmat syarikat pengangkutan bagi mengambil barangan dari syarikat mangsa dan seterusnya akan meminta syarikat pengangkutan menurunkan barangan di lokasi berlainan daripada alamat yang diberikan.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




