Sindiket palsu cap pasport sasar warga asing 'overstay'

Sindiket palsu cap pasport sasar warga asing 'overstay'

am@hmetro.com.my

Hulu Selangor: Taktik sindiket pemalsuan cap pasport yang dibongkar dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Gombak, baru-baru ini menyasarkan individu yang tinggal melebihi tempoh sah dibenarkan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, ketika ini pihaknya masih menjalankan siasatan dan akan menghantar dokumen yang dirampas kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk pengesahan lanjut.

“Kebanyakan pelanggan sindiket pemalsuan dokumen ini adalah overstay (tinggal melebihi tempoh sah yang dibenarkan).

“Jadi bila perbaharui (pasport), dia cap atau pun dia nak keluar tetapi dah overstay… dia cop dan boleh keluar (negara) balik.

“Malah, kita difahamkan sindiket ini juga mempunyai connection (hubungan) dengan pengendali sistem,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor, di sini hari ini.

Shazeli berkata, sindiket itu menjual cap pasport palsu terbabit pada harga RM500 dan menggunakan sebuah premis perniagaan yang sah di Shah Alam sebagai cover up aktiviti mereka.

“Kita difahamkan salah seorang suspek iaitu wanita warga tempatan berkahwin dengan seorang lelaki warga asing dan dia membantu suaminya melakukan kegiatan ini.

“Pada masa sama, kesemua suspek masih direman,” katanya sambil menambah akan terus bekerjasama dengan JIM untuk membanteras kegiatan seumpama itu.

Terdahulu, media melaporkan polis menahan ibu mentua seorang pemain bola sepak kebangsaan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pemalsuan cap pasport.

Wanita berusia 46 tahun itu ditahan bersama tiga lelaki warga Pakistan dalam serbuan dijalankan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Gombak.

Pelbagai cap rasmi membabitkan pelbagai negara ditemui termasuk Pakistan, Indonesia dan Malaysia, yang digunakan untuk memalsukan dokumen perjalanan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek direman hingga 8 Oktober ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top