Pelakon popular, Datuk Aaron Aziz akhirnya mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang didakwa terlibat dalam perbuatan buli siber serta penyebaran fitnah membabitkan dirinya dan keluarga baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di Instagram, Aaron meluahkan perasan sedihnya apabila isu yang berlaku turut memberikan impak terhadap anak-anaknya apatah lagi ada diantara mereka kini sedang belajar di luar negara.
“Bismillah Ya Allah, permudahkan urusan kami.. anak anak saya di luar negara saya tak dapat nak peluk dan tenangkan mereka. Dan hari lahir anak saya disambut dengan tangisan.
“Untuk anak-anak saya, daddy akan terus mempertahankan kamu semua sehingga hujung nyawa,” katanya.
Dalam pada itu, isteri kepada pelakon berkenaan, Diyana Halik tidak dapat menahan sebak apabila melihat insan yang menjadi tulang belakang keluarganya itu bersedi, malah hanya mampu ditenangkan oleh anak bongsu mereka.

Terdahulu, sepotong video pendek tular memperlihatkan aktor itu didakwa mempertikaikan tindakan aktivis kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), sekali gus membuatkan dirinya menerima pelbagai resposn negatif dalam kalangan masyarakat.
Susulan isu berkenaan, Aaron tampil menjelaskan perkara sebenar dan meminta orang ramai menonton semula rakaman penuh temu bual berkenaan sebelum membuat sebarang spekulasi.
Jelasnya, dia sama sekali tidak pernah mempertikaikan usaha murni mana-mana pihak yang tampil memperjuangkan rakyat Palestin.




