am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Remaja perempuan berusia 15 tahun dari Pasir Puteh yang didakwa menawarkan perkhidmatan seks melalui Telegram dan platform media sosial lain, dipercayai dirogol bapanya sendiri.
Menurut sumber, bapa mangsa berusia 50-an itu sudah ditahan, baru-baru ini.
Sumber berkata, suspek ditahan selepas polis menerima laporan daripada ibu gadis itu pada 22 September lalu.
Menurutnya, lelaki yang berasal dari Terengganu itu, dijangka didakwa hari ini.
Terdahulu, seorang wanita membuat laporan polis mendakwa dia mengesyaki anak perempuannya yang berusia 15 tahun menawarkan perkhidmatan seks melalui Telegram.
Ibu tunggal berusia 43 tahun itu yang bekerja sebagai tukang cuci membuat laporan itu di Balai Polis Pasir Puteh.
Wanita itu dilaporkan mengetahui situasi itu daripada anak sulungnya di rumah mereka di Jerteh, Terengganu pada 15 September lalu.
Menurut sumber, anak sulungnya memberitahu bahawa adiknya yang berusia 15 tahun menawarkan perkhidmatan seksual.
“Dia diberitahu bahawa anak perempuannya menawarkan perkhidmatan itu secara percuma kepada pelanggan pertama dan mengenakan bayaran untuk pelanggan kedua dan seterusnya.
“Wanita itu percaya anak perempuannya sudah melakukan hubungan seks dengan beberapa lelaki.
“Dia membuat laporan itu untuk membolehkan polis mengambil tindakan selanjutnya,” kata sumber itu.
Difahamkan, gadis itu bersama adik-beradiknya tinggal bersama bapa mereka di Kampung Gong Tinggi, Pasir Puteh, selepas ibu bapa mereka bercerai 10 tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




