khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2026 bagi menaikkan kadar cukai cecair nikotin rokok elektronik atau vape membabitkan nilai 10 kali ganda daripada kadar sedia ada.
Timbalan Menterinya, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, kadar cukai cecair vape yang dicadangkan ialah daripada 40 sen kepada RM4 per mililiter (ml) nikotin.
“Saya ingin berkongsi maklumat mengenai ringkasan penyelarasan produk merokok. Sebatang rokok bersamaan 10 sedutan, manakala sekotak rokok bersamaan 200 sedutan.
“Bagi 1ml cecair (nikotin) vape pula bersamaan 100 sedutan dan 2ml adalah 200 sedutan.
“Kadar cukai dicadangkan untuk cecair vape daripada 40 sen kepada RM4 per ml. Ini adalah cadangan KKM supaya dapat diterima oleh MOF,” katanya sewaktu pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) adakah dalam Belanjawan 2026 akan datang kadar cukai kandungan nikotin dalam vape akan disamaratakan dengan kandungan cukai dikenakan ke atas rokok.
Lukanisman memberi jaminan, KKM akan mempergiatkan langkah penguatkuasaan terbaik bagi memastikan larangan merokok dan vape dapat dilaksanakan sebaik mungkin.
“Walaupun demikian, kita memerlukan sokongan dan kerjasama daripada masyarakat untuk membantu. Jangan takut untuk menegur perokok yang merokok di kawasan larangan.
“Itu adalah langkah yang perlu kita budayakan dalam kalangan masyarakat Malaysia kerana kita mempunyai undang-undang yang kita gubal iaitu Akta 852,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




