am@hmetro.com.my
Ipoh: Juruelektrik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tuduhan mencabul anak saudara perempuannya yang berusia 11 tahun.
Bapa kepada dua anak berusia 47 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.
Lelaki itu dituduh melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak itu di sebuah rumah di daerah Perak Tengah pada 8 pagi, 31 Ogos lalu dan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Farhan Ahmad Fadzil.
Terdahulu, Nor Arfahanim menawarkan jaminan RM20,000 kepada tertuduh dan syarat tambahan tidak mendekati mangsa, namun Muhammad Farhan merayu jaminan lebih rendah mengambil kira anak guamnya penanggung tunggal keluarga dengan pendapatan RM1,800 sebulan.
“OKT juga menjaga ibu saudaranya yang lumpuh, manakala mangsa sudah lagi tidak tinggal bersama keluarga OKT,” kata peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin tempatan, serta syarat tertuduh perlu melapor diri di balai polis pada setiap bulan, tidak dibenar menghubungi, mengganggu, atau mendekati mangsa serta saksi pendakwaan lain sehingga kes selesai.
Kes disebut semula 11 November.
© New Straits Times Press (M) Bhd




