Mahkamah Sesyen hari ini membenarkan permohonan pengasas FashionValet Sdn Bhd, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar untuk mendapatkan semula pasport antarabangsa mereka.
Bagaimanapun, pemulangan semula passport tersebut hanyalah bersifat sementara memandangkan mereka perlu menghadiri program Islamik di Istanbul dan Bosnia.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Rosli Ahmad selepas menerima permohonan peguam pasangan berkenaan, Shaarvin Raaj, yang memohon agar pasport diserahkan sementara bermula hari ini hingga 12 November depan.
“Saya mohon pasport diserahkan hari ini untuk permohonan visa dan ia akan diserahkan semula kepada mahkamah pada 13 November,” katanya.
Menurut peguam, pasangan itu akan menyertai program Islamic Historical Retreat to Istanbul-Bosnia with Sheikh Wael Ibrahim dari 4 hingga 11 November ini.
Sebelum ini, mahkamah turut membenarkan Vivy dan suami mendapatkan pasport bagi menunaikan umrah pada Disember 2024.
Terdahulu, pada 5 Disember tahun lalu, Vivy Yusof, 38, dan Fadzarudin, 37, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta.
Mereka didakwa sebagai pengarah FashionValet Sdn Bhd dengan niat bersama melakukan pecah amanah terhadap dana pelaburan berkenaan apabila membuat pembayaran sebanyak RM8 juta daripada akaun syarikat kepada 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan lembaga pengarah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Cawangan Bukit Damansara pada 21 Ogos 2018 dan dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan.
Sumber: Berita Harian




