hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Sepang: Memakai t-shirt putih di kepala seperti mengenakan tudung menjadi simbol kepada penindasan wanita Palestin termasuk sukarelawan wanita Global Sumud Flotilla (GSF) yang dinafikan hak ketika ditahan tentera Israel.
Sukarelawan GSF yang juga personaliti media sosial, Nurfarahin Romli atau lebih dikenali sebagai Farah Lee berkata, pemakaian t-shirt itu sebagai tudung turut menterjemahkan penindasan Israel terhadap amalan kepercayaan dan agama diamalkan aktivis Islam.
Menurutnya, dia berdiri di sini bukan saja mewakili sukarelawan wanita lain, tetapi turut mewakili wanita dan ibu yang sedang ditindas di Gaza, Palestin.
“Ia di mana hak untuk amalkan agama dan kepercayaan kami ditindas, tudung kami dirampas, kami dimalukan di hadapan lelaki bukan ajnabi dengan tidak memakai tudung.
“Kami terpaksa mengambil t-shirt putih ini dan menutup rambut dan kepala kami untuk menjaga maruah sebagai wanita di sana,” katanya ketika pada Majlis Menyambut Ketibaan sukarelawan GSF di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini, malam ini.
Katanya, dia berpengalaman melihat pelbagai hak kemanusiaan termasuk akses air bersih, ubatan selain penindasan dilakukan rejim itu.
“Tetapi itu (pengalaman dilalui sukarelawan) mungkin hanya kurang satu peratus daripada penderitaan dan hak asasi manusia yang ditindas di Palestin dan Gaza.
“Jadi saya wakil kami di sini berasa sangat bangga dengan mendengar suara-suara menyambut kami kembali dan saya harap suara-suara inilah yang akan digunakan untuk pembebasan Palestin sehingga ke akhirnya,” katanya.
Sementara itu, Farah Lee turut mengajak semua rakyat Malaysia untuk menyertai Himpunan Sumud Nusantara di Axiata Arena di Bukit Jalil bagi mendengar perkongsian lanjut mengenai pengalaman sukarelawan.
Ketibaan rombongan malam ini disertai bacaan doa kesyukuran oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof Madya Dr Ahmad Fauwaz Fadzil, dengan kehadiran ahli keluarga, rakan serta lebih 500 penyokong perjuangan GSF.
Pada Khamis lalu, semua 23 aktivis rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan Zon Merah R3, di Laut Mediterranean seterusnya dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.
Mereka berjaya dibebaskan dan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada 6.45 petang waktu Malaysia sebelum tiba di Istanbul pukul 8.40 malam waktu Malaysia, Sabtu lalu.
Rakyat Malaysia yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).
Turut ditahan, Razali Awang yang menaiki kapal Inana; pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar dan Norazman Ishak (kapal Estrella).
Selain itu, Zainal Rashid Ahmad dan Ustaz Muhammad Abdullah (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Dr Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).
Berita berkaitan:
Misi GSF: Kita berjaya ‘break the silence’ – Nadir Al-Nuri
Kejayaan bawa pulang sukarelawan GSF hasil diplomasi tertinggi
GSF: 23 sukarelawan selamat tiba, Malaysia rakam penghargaan kepada Turkiye, rakan antarabangsa
Sukarelawan GSF sujud syukur di KLIA, disambut tangisan dan laungan ‘Bebas Palestin’
23 wira wirawati GSF selamat tiba
Misi GSF: Tahap keselamatan di KLIA terkawal
Keluarga, orang ramai berkumpul di KLIA sambut kepulangan aktivis GSF
© New Straits Times Press (M) Bhd




