Budaya membaca amalan murni yang sewajarnya dijadikan amalan setiap masa. Ciri-ciri negara maju ialah negara rakyatnya kuat membaca dan kadar literasi yang tinggi.
Dalam ajaran Islam, surah yang pertama diturunkan ialah Surah al-Alaq yang kalimah pertamanya ialah “Bacalah! oleh-Mu (Wahai Muhammad).” Ia sekali gus menggambarkan ajaran Islam adalah berpaksikan ilmu dan menggalakkan pembacaan. Hakikat ini diakui orientalis barat seperti Franz Rosenthal dalam bukunya Knowledge Triumphant. Untuk menggalakkan budaya membaca, sesetengah negara melancarkan bulan membaca bagi masyarakat mereka. Negara kita pernah melancarkan kempen Gerakan Membaca melalui pelancaran Bulan Membaca Kebangsaan pada setiap Ogos bermula pada 1995 dan kemudian bertukar ke setiap Julai bermula 2001. Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dilaporkan mengadakan lebih 102,813 program galakan membaca sepanjang tahun lalu.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang pernah menyebut bahawa Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia yang pernah dilakukan pihak PNM dalam menilai tahap membaca rakyat Malaysia dan sebagai asas pengukuran negara maju. Mengikut standard Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNESCO) kadar literasi antara 95-100 peratus penting bagi sesebuah negara kerana antara lain, ia mencerminkan negara itu sudah berjaya keluar daripada kategori ‘masalah literasi besar’ yang biasa dihadapi negara membangun dan sudah hampir memenuhi status negara maju walaupun literasi bukan satu-satu kriterianya.
Melalui kajian berkenaan didapati rakyat Malaysia membaca sekurang-kurangnya dua naskhah pada 2005, 15 naskhah pada 2014 dan terkini adalah 24 naskhah pada 2023. Kadar minat membaca rakyat Malaysia terkini berada pada tahap 88.6 peratus. Jumlah naskhah pembacaan dalam tempoh setahun menunjukkan rakyat Malaysia membaca sebanyak 24 naskhah merangkumi 16 naskhah bahan bercetak dan lapan naskhah bahan digital. Penulis sependapat dengan Aaron yang berpandangan amalan membaca mempunyai kaitan yang erat dengan perpaduan di Malaysia antaranya meningkatkan pemahaman terhadap budaya yang berbeza. Dengan membaca, masyarakat dapat memahami latar belakang budaya, tradisi dan sejarah pelbagai kaum di Malaysia.
Ada laporan yang menyebut rakyat Malaysia berada di kedudukan antara berbelanja terbesar untuk buku namun bukan masyarakat yang teratas dalam budaya membaca. Penulis dimaklumkan oleh sahabat yang lama belajar di Jepun, ada perkataan Jepun ‘tsundoku’ yang berasal sebagai istilah slanga untuk mentakrifkan tabiat atau minat membeli buku kerana perasaan ingin tahu (curiosity) yang mendalam untuk mengetahui ilmu namun lama-kelamaan membiarkannya bertimbun tanpa membacanya sehingga menjadi koleksi. Ada juga golongan yang dikatakan sudah berasakan dirinya cukup ilmuwan ataupun mahu dipandang berilmu oleh tetamu yang bertandang ke rumahnya apabila memiliki koleksi bukunya yang banyak walaupun tidak membacanya. Kita tidak mahu masyarakat kita membeli buku untuk sekadar berfungsi sebagai hiasan, tetapi tidak membacanya.
Justeru itu, memupuk budaya membaca itu amat penting. Namun, budaya membaca semata-mata itu tidak memadai, tetapi perlu disusuli pemilihan bahan pembacaan berkualiti yang dapat membangun minda dan menambah kefahaman yang benar. Kalau sekadar membaca majalah hiburan, bahan popular dan santai atau media sosial, walaupun ia lebih baik daripada membuang masa dan melakukan perkara yang sia-sia, tetapi sewajarnya masa digunakan untuk membaca bahan lebih bermutu.
Dalam hal ini, penulis ingin mengambil kesempatan memperkenalkan Koleksi Tamadun Islam Perpustakaan Tun Ahmad Sarji (PTAS), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di Langgak Tunku off Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur yang memiliki sejumlah koleksi bahan akademik yang amat berwibawa dan terkenal dalam kalangan ahli akademik dan tokoh bidang kajian Islam. IKIM memiliki Koleksi Khas Tamadun Islam (KTI) sebanyak 8,064 naskhah yang terdiri daripada koleksi buku dan jurnal pengumpul ilmuwan dari Eropah. Ia bukan sahaja dalam bahasa Inggeris tetapi bahasa lain seperti Rusia, Perancis, Hebrew, Arab, Jerman, Belanda, Latin, Turki, Itali dan Sepanyol. Semuanya menjangkau kira-kira 20 bahasa. KTI Perpustakaan Tun Ahmad Sarji ini mampu memberi manfaat yang besar kepada pengunjung di PTAS serta cendekiawan Malaysia. Menariknya, PTAS ini bukan sahaja terbuka untuk kegunaan warga IKIM, tetapi juga terbuka untuk masyarakat awam khususnya dalam kalangan sarjana dan penyelidik.
Sehubungan itu, kepada yang berminat untuk mendapatkan bahan pembacaan berkualiti, boleh datang ke PTAS IKIM untuk maklumat lanjut.
Penulis Fellow Utama, Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
© New Straits Times Press (M) Bhd




