Amsterdam: Penyerang muda, Mexx Meerdink, terpaksa menarik diri daripada skuad Belanda bagi aksi kelayakan Piala Dunia minggu ini menentang Malta dan Finland selepas mengalami kecederaan hanya dua hari selepas dipanggil buat kali pertama, menurut Persatuan Bola Sepak Belanda (KNVB).
Pemain berusia 22 tahun dari kelab AZ Alkmaar itu tidak akan digantikan, meskipun Memphis Depay lewat menyertai kem latihan selepas pasportnya dilaporkan hilang.
Jurulatih, Ronald Koeman, sebelum ini sudah mengesahkan Depay tidak akan diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Malta pada Khamis ini di Ta’Qali, sekali gus membuka ruang kepada Donyell Malen untuk mengetuai jentera serangan Oranje.
Bagaimanapun, Malen kini lebih dikenali sebagai pemain ‘super sub’ buat Belanda selepas kerap mencipta impak besar ketika dimasukkan sebagai pemain gantian.
Penyerang Borussia Dortmund itu mencatat rekod cemerlang dengan 10 jaringan daripada 27 penampilan sebagai pemain gantian angka terbaik dalam sejarah pasukan kebangsaan Belanda.
“Ia sesuatu yang boleh dibanggakan.
“Kadang-kadang anda kecewa apabila bermula di bangku simpanan, tetapi jika kekal kuat secara mental dan mampu menjaringkan gol, itu tetap satu pencapaian membanggakan,” kata Malen.
Sebagai pemain utama, prestasi Malen agak perlahan dengan hanya satu gol daripada 18 penampilan antarabangsa.
Belanda akan berdepan Finland di laman sendiri Ahad ini dan kini mengumpul 10 mata daripada empat perlawanan awal, mendahului Poland menerusi perbezaan jaringan dengan satu perlawanan dalam tangan.
Hanya juara kumpulan akan layak secara automatik ke pusingan akhir di Amerika Utara, manakala naib juara akan mara ke saingan playoff.
© New Straits Times Press (M) Bhd




