Ieda Moin Pernah Hampir Jadi Songsang, Syukur Sahabat Jadi Penyelamat

Ieda Moin Pernah Hampir Jadi Songsang, Syukur Sahabat Jadi Penyelamat

Pelakon dan pelawak Ieda Moin menjelaskan mengenai kekeliruan susulan kenyataannya yang dikaitkan dengan dakwaan pernah terbabit dengan hubungan songsang.

Memetik mStar Online, Ieda berkata hubungan yang dimaksudkan hanya sekadar kasih sayang terhadap rakan dan bukan cinta romantik. Jelasnya lagi, kenyataannya dalam satu podcast baru-baru ini telah disalah tafsir.

BACA: Eida Moin Kini Berhijab, Mahu Kekal Istiqamah

“Perkara ini sebenarnya dah lepas tapi saya nak jadikan sebagai pengajaran kepada semua. Saya bukannya bercinta bagai nak rak dengan perempuan sampai nak kahwin.

“Tak bercinta pun. Hubungan itu sekadar rasa sayang kepada kawan-kawan. Nak kata kami macam belangkas  pun tidaklah macam itu,” katanya.

Sementara itu, Ieda berkongsikan pengalaman hampir terjerumus dengan gejala songsang ketika dia bersekolah rendah di sekolah perempuan serta terlibat dalam dunia tarian sejak usia 16 tahun.

“Saya dulu bersekolah rendah di sekolah perempuan. Siapa yang pernah bersekolah jenis macam ini tahulah keadaan sebenar atau situasi pelajar yang ada.

“Ada tu yang berubah nak jadi jantan (pengkid). Bila masuk sekolah menengah, saya bercampur lelaki dan perempuan tapi masih ada golongan seperti itu.

“Sebagai manusia kita tak dapat elak untuk berkawan dengan golongan seperti mereka. Kita tiada hak nak menghalang persahabatan itu,” katanya.

Dalam pada itu, Ieda berkata dia tidak memilih latar belakang sesorang dalam menjalin hubungan persahabatan namun orang sekelilingnya menitipkan nasihat untuk menjaga pergaulan.

“Kita dalam industri pun tak lari daripada berkawan dengan golongan seperti itu, tapi orang sekeliling mula menasihati saya untuk jaga pergaulan. Nanti orang ingat saya tiada perasaan kepada lelaki.  Saya mula terfikir dan tak mahu orang salah angap. Alhamdulillah saya cepat tersedar,” katanya.

Sumber: mStar Online


Scroll to Top