Pemandu pikap papar pelekat tulisan Hebrew dikenal pasti warga tempatan

Pemandu pikap papar pelekat tulisan Hebrew dikenal pasti warga tempatan

hafis@mediaprima.com.my

Melaka: Polis masih belum menahan pemandu pikap Isuzu yang memaparkan pelekat bertulisan bahasa rasmi Israel, Hebrew, dengan maksud ‘Malaysia di tangan kami’ yang tular di media sosial semalam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata siasatan sedang dijalankan dan pemandu kenderaan itu sudah dikenal pasti sebagai warga tempatan.

“Kita sudah kenal pasti individu terbabit namun tangkapan belum dilakukan.

“Individu terbabit juga adalah warga tempatan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan polis membuka kertas siasatan selepas tular video berdurasi 14 saat menunjukkan pacuan empat roda jenis Isuzu dipasang pelekat bertulisan Hebrew di bahagian badan kenderaan terbabit.

Dzulkhairi berkata, hasil siasatan mendapati kenderaan itu didaftarkan atas nama seorang lelaki beralamat di Gemencheh, Negeri Sembilan.

Menurutnya, pihak polis menerima laporan pada jam 3.32 petang semalam daripada seorang lelaki yang juga pegawai khas agama kepada Ketua Menteri Melaka.

“Pengadu membuat laporan selepas melihat video berkenaan yang memaparkan kenderaan berkenaan.

“Susulan itu, polis membuka siasatan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menimbulkan ketakutan atau kegentaran awam,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan telekomunikasi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top