UiTM RAIH EMPAT ANUGERAH UTAMA DI ANDONG MASK DANCE FESTIVAL 2025, KOREA SELATAN

Petaling Jaya – Universiti Teknologi MARA (UiTM) sekali lagi mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa apabila Institut Seni Kreatif Nusantara (INSAN) berjaya meraih empat anugerah utama di Andong Mask Dance Festival 2025 yang berlangsung dari 26 September hingga 5 Oktober 2025 di Andong City, Korea Selatan.

Pertandingan tahunan bertaraf dunia itu menghimpunkan hampir 1,000 peserta daripada 30 negara, menjadikannya antara festival budaya antarabangsa paling berprestij di rantau Asia. Penganjuran festival ini merupakan usaha bersama Kerajaan Bandar Andong, Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Korea Selatan, dan Andong Mask Dance Festival Foundation, dengan kerjasama International Mask Arts & Culture Organization (IMACO). Sejak tahun 1997, Andong telah diiktiraf UNESCO sebagai pusat utama seni topeng dunia.

Malaysia yang diwakili oleh UiTM melalui INSAN, Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), serta Anak Seni Legasi Mandala (ALAM), membawa pulang pencapaian membanggakan apabila menggondol Anugerah Emas (₩2,000,000) dan Anugerah Khas Juri (₩200,000) bagi Kategori Kumpulan Antarabangsa, serta Anugerah Gangsa (₩300,000) dan Anugerah Khas Juri (₩150,000) bagi Kategori Individu.

Delegasi UiTM diketuai oleh Prof. Dr. Mohd Kipli Abdul Rahman, Pengarah INSAN UiTM; bersama Amandus Paul Panan (Ahli Bersekutu INSAN / Penerbit Artistik / FiTA UiTM) dan Khairul Anuar Zainudin (Ahli Bersekutu INSAN / Pengarah Persembahan / FiTA UiTM).
Kolaborasi ini turut disertai Anak Seni Production, Legasi Terindah, Seri Mandala, Centre Stage Vision Dynamic, dengan Tourism Malaysia sebagai penaja bahan promosi dan BilBerkarya Production sebagai penaja rasmi.

Selain kejayaan pertandingan, delegasi UiTM turut menandatangani tiga Surat Hasrat Kolaborasi (Letter of Intent – LOI) bersama institusi seni dan budaya antarabangsa. Mereka turut mengadakan perbincangan awal dengan delegasi dari Korea, Turki, Jepun dan Filipina bagi potensi kerjasama akademik, pertukaran pelajar dan inisiatif budaya di masa hadapan.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UiTM, Prof. Ts. Dr. Norazah Abd Rahman, kejayaan ini membuktikan keupayaan UiTM dalam memperkukuh jaringan penyelidikan dan inovasi seni di peringkat global.

“INSAN dan Fakulti Filem, Teater dan Animasi UiTM telah mengangkat seni budaya Malaysia sebagai bahasa sejagat yang menghubungkan akademia, masyarakat dan dunia,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, menyifatkan pencapaian tersebut sebagai bukti sinergi antara universiti, industri kreatif dan komuniti seni.

“Kemenangan ini bukan sekadar kejayaan akademik, tetapi juga satu bentuk diplomasi budaya yang memperkukuh imej Malaysia di mata dunia. UiTM amat berbangga kerana kejayaan ini bukan sahaja mengangkat nama universiti, tetapi juga membuktikan kekuatan bakat dan kreativiti anak bangsa,” ujarnya.

UiTM percaya kejayaan ini bukan hanya pengiktirafan terhadap kecemerlangan seni persembahan, tetapi juga memperkukuh peranan universiti sebagai pemangkin pembangunan budaya dan kreativiti negara di peringkat global.
INSAN UiTM akan terus memainkan peranan penting dalam memperluas pengaruh seni kreatif Nusantara ke pentas antarabangsa, seiring aspirasi UiTM untuk menjadi Universiti Unggul Dunia 2025.

 

Mengenai UiTM

Universiti Teknologi MARA (UiTM) ialah universiti komprehensif terbesar di Malaysia yang menyediakan pendidikan inovatif dengan infrastruktur dan teknologi terkini yang merangkumi  34 kampus, 24 fakulti dan 9 pusat akademik di seluruh negara.

UiTM menawarkan lebih daripada 500 program akademik di peringkat Asasi, Pra diploma, Diploma, Sarjana Muda, Sarjana dan PhD, serta Program Profesional. UiTM sentiasa meluaskan akses pendidikan tinggi dan memainkan peranannya dalam pembinaan negara dengan menyerlahkan potensi, membentuk masa hadapan.

Antara pencapaian terhebat, UiTM berada pada kedudukan =542 dalam QS World University Rankings 2026, kedudukan ke-101 dalam QS Asia University Rankings 2025, serta berada pada kedudukan dalam =607 dalam QS World University Rankings: Sustainability 2025, ke-151 di Asia dan ke-11 di Malaysia. Subjek Hospitality and Leisure Management pernah berada pada kedudukan 50-100 terbaik di dunia daripada 18 subjek UiTM lain yang tersenarai dalam penarafan QS World University Rankings by Subject 2024. UiTM turut berada pada kedudukan 136 dalam penarafan Times Higher Education (THE) Interdisciplinary Science Rankings (ISR) 2025 dan menerima anugerah 3G SDGs Championship Award 2022. Pada Jun 2022, UiTM dipilih sebagai penerima Reader’s Digest Trusted Brand Gold Award 2022 kali ke-12 bagi kategori Universiti Awam dan untuk pertama kalinya menerima anugerah The BrandLaureate BestBrands Awards 2022 – The Nation’s Pride Higher Education. Dalam UI GreenMetric World University Rankings 2024, UiTM mencapai kedudukan ke-107 di dunia dan pada kedudukan ke-6 antara institusi-institusi di Malaysia

Dengan lebih daripada 700,000 alumni dalam bidang sains, teknologi, kemanusiaan dan keusahawanan, UiTM menawarkan peluang dalam membentuk pemimpin pada peringkat kebangsaan, industri dan global bagi mencapai aspirasi untuk menjadi sebuah universiti terkemuka dunia menjelang tahun 2025.

Pembahagian Korporat
Malay News

 

Scroll to Top