WHO Sahkan Jumlah Remaja Hisap Vape Melonjak – Kini Cecah 15 Juta Orang

WHO Sahkan Jumlah Remaja Hisap Vape Melonjak – Kini Cecah 15 Juta Orang

Tabiat merokok tradisional mungkin semakin berkurangan, namun tren baharu kini muncul — penggunaan rokok elektronik atau vape terus melonjak di seluruh dunia. Lebih membimbangkan, peningkatan ini paling ketara dalam kalangan remaja dengan hampir 15 juta pengguna berusia antara 13 hingga 15 tahun.

Menurut laporan terbaharu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 100 juta penduduk dunia kini merupakan pengguna vape, termasuk sekitar 86 juta orang dewasa di negara-negara berpendapatan tinggi. Fenomena ini didorong oleh akses yang semakin mudah kepada vape, menjadikan kanak-kanak dan remaja sebagai sasaran utama industri.

WHO memberi amaran bahawa peningkatan ini menuntut tindakan segera daripada kerajaan seluruh dunia untuk memperketat kawalan terhadap tembakau dan produk berkaitan.

Antara langkah yang dicadangkan termasuk menaikkan cukai tembakau, mengharamkan semua bentuk pengiklanan, serta memperluas perkhidmatan berhenti merokok bagi mengelak lebih ramai terjerumus dalam tabiat berbahaya ini dan membantu pengguna sedia ada berhenti sepenuhnya.

Dari segi geografi, rantau Asia Tenggara yang sebelum ini menjadi “titik panas” penggunaan tembakau kini menunjukkan kemajuan apabila kadar pengguna menurun kepada 37% setakat 2024. WHO menyatakan rantau ini menyumbang kepada lebih 50% pengurangan global dalam penggunaan tembakau.

Di Malaysia pula, usaha membendung masalah ini turut giat dijalankan. Tujuh negeri telah menyatakan sokongan terhadap larangan penjualan vape dan enggan memperbaharui lesen perniagaan berkaitan.

Langkah ini mencerminkan komitmen negara dalam melindungi generasi muda daripada ancaman tabiat yang kian menular dalam pasaran semasa.


Scroll to Top