syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : “Tidak. Sabronzo tidak akan keluar dari Dolla sebab dia akan terus bersama kumpulan itu.”
Demikian kata Pengarah Kanan A&R dan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, Hermond Cheng ketika ditanya sama ada pihak label yang menaunginya menetapkan sebarang syarat berkaitan keputusannya untuk berumah tangga.
Hermond berkata, pihaknya sebagai pihak pengurusan turut tumpang gembira apabila Sabronzo memaklumkan ingin berumah tangga.
“Kami pun terperanjat waktu dia maklumkan nak kahwin, tapi sebagai rakan sekerja dan dia pun artis kami, jadi sudah tiba masanya untuk dia berumah tangga. Kami pun tumpang gembira.
“Kami tak ada denda atau apa sebab dalam kontrak tak ada tulis sebarang syarat tak diizinkan kahwin atau apa. Begitu juga dengan anggota Dolla yang lain,” katanya.
Ditanya mengenai penambahan anggota kumpulan selepas Syasya menarik diri daripada menjadi anggota kumpulan itu, Hermond berkata, mereka belum ada sebarang perancangan ke arah itu.
“Setakat ini, kami tak ada rancangan untuk tambah ahli kumpulan Dolla lagi. Kalau Sabronzo mengandung, kami memang ada pelan B,” katanya.
Terdahulu, tular gambar resepsi perkahwinan Sabronzo atau nama sebenarnya Wan Sabrina Wan Rusli dengan DJ Dash Berlin yang berlangsung di Bali, Indonesia.
© New Straits Times Press (M) Bhd



