KKDW peruntuk lebih RM10 juta baiki jalan ke Pos Gob

KKDW peruntuk lebih RM10 juta baiki jalan ke Pos Gob

am@hmetro.com.my

Gua Musang : Lebih RM10 Juta diperuntukkan Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi membaik pulih jalan rosak menuju ke Pos Gob dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

Peruntukan terbabit akan digunakan bagi membaik pulih jalan, pembentung dan jambatan yang sering berlaku kerosakan apabila tibanya musim hujan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, beberapa kawasan ‘hotspot’ yang kerap berlaku kerosakan akan dikenal pasti dan dibaiki pulih dengan kadar segera.

Katanya, setiap tahun penduduk di kawasan pedalaman Pos Gob terpaksa berhadapan dengan jalan rosak sehingga menyebabkan mereka terkandas ketika keluar daripada penempatan mereka pada musim tengkujuh.

“Pelbagai kesukaran terpaksa dihadapi penduduk untuk keluar daripada penempatan mereka apabila tibanya musim tengkujuh.

“Saya difahamkan Jabatan Kerja Raya (JKR), lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) bahawa peruntukan untuk membaik pulih jalan, membina pembentung dan jambatan sudah ada.

“Pelaksanaan proses membaik pulih adalah secara berperingkat dan akan dimulakan dalam masa terdekat. Untuk projek ini sebanyak lebih RM10 Juta diperuntukkan KKDW di bawah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA),” katanya.

Menurut beliau pelaksanaan projek terbabit dapat memberi manfaat kepada lebih 3,000 penduduk Orang Asli di kawasan pedalaman Pos Gob.

Beliau sangat berterima kasih kepada pihak KKDW yang sangat prihatin dengan nasib Orang Asli di pedalaman Pos Gob yang sering terputus hubungan apabila tibanya musim tengkujuh.

“Hujan yang berterusan apabila tibanya MTL menyebabkan jalan tanah berselut dan sukar dilalui serta jambatan kayu akan runtuh, jadi peruntukan ini sangat besar maknanya kepada penduduk Orang Asli di pedalaman” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA), Hady Liman berkata, peruntukan terbabit sangat dinantikan penduduk di pedalaman Pos Gob.

“Hampir setiap tahun kami terpaksa berhadapan dengan masalah jalan dan jambatan rosak apabila tibanya musim tengkujuh,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top