2.1 juta kenderaan dijangka bergerak sempena cuti Deepavali

2.1 juta kenderaan dijangka bergerak sempena cuti Deepavali

hafidzul@hmetro.com.my

Bentong: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpukan kepada aspek kelancaran aliran trafik menerusi Op Lancar sempena perayaan Deepavali bermula 17 hingga 21 Oktober.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Pengurusan Trafik (JSPT) Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, seramai 500 anggota dan pegawai akan ditugaskan dalam bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan pengguna jalan raya.

Beliau berkata, operasi itu akan memberi tumpuan kepada lebuh raya utama, jalan bandaran serta jalan Persekutuan yang dijangka mengalami peningkatan jumlah kenderaan menjelang musim perayaan.

“Lebih 500 anggota JSPT akan digerakkan sepanjang tempoh operasi, dengan jangkaan kira-kira 2.1 juta kenderaan berada di atas jalan raya sepanjang musim perayaan.

“Fokus utama Op Lancar kali ini adalah memastikan kelancaran perjalanan pulang ke kampung, mengurangkan kadar kemalangan dan membantu pengguna jalan raya yang menghadapi masalah,” katanya selepas menghadiri Program Latihan Menembak JSPT bersama pihak media di Lapang Sasar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di sini, hari ini.

Sementara itu, mengulas berhubung beberapa siri kejayaan JSPT termasuk kejayaan rampasan dadah, Mohd Yusri berkata, ia sebahagian tugas hakiki pegawai polis selain memfokuskan kepada kesalahan trafik.

“Kes terbaharu kita berjaya mengesan sebuah kenderaan dan merampas dadah bernilai lebih RM12 juta hasil operasi bersepadu.

“Saya mengucapkan syabas dan terima kasih kepada pegawai dan anggota terbabit, kita membantu jabatan lain dalam memastikan keselamatan serta ketenteraman awam,” katanya.

Beliau turut menyeru pengguna jalan raya supaya mematuhi undang-undang dan memandu kenderaan secara berhemah.

“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan jenayah atau kemalangan kepada pihak polis bagi menjamin keselamatan serta ketenteraman awam sepanjang musim perayaan ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top