Konsert Ulang Tahun ke-40 Wings diteruskan

Konsert Ulang Tahun ke-40 Wings diteruskan

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kumpulan legenda rock terkenal negara, Wings mengesahkan penganjuran Konsert Ulang Tahun Ke-40 yang sudah dirancang sebelum ini akan diteruskan seperti dijadual meskipun dua ahli asal mengumumkan menarik diri.

Malam tadi, pemain dram Wings iaitu Black dan pemain gitar bass, Eddie tampil membuat kenyataan pengumuman mereka kini bukan lagi anggota Wings dan turut menarik diri terbabit Konsert Ulang Tahun Ke-40.

Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Rumah Produksi Merah (RPM), Datuk Eddy Amir Salim juga selaku penganjur konsert berkata Konsert Wings 40: 4 Dekad Terbang Tinggi dijadual berlangsung di Idea Live Arena, Damansara pada 28 November ini.

“Ia tetap diteruskan sebagai tanda penghargaan terhadap empat dekad perjalanan seni kumpulan yang menjadi ikon muzik rock Malaysia sejak tahun 1985,” katanya dalam kenyataan rasmi dikeluarkan.

Beliau juga mengambil kesempatan mengucapkan selamat maju jaya kepada Black dan Eddie serta mendoakan agar segala urusan mereka dipermudahkan oleh Allah SWT.

“Pihak pengurusan menegaskan bahawa semua persiapan (konsert) berjalan lancar dan peminat boleh menjangkakan pengalaman konsert yang epik serta penuh nostalgia.

“Ulang tahun ke-40 ini bukan sekadar persembahan, tetapi ia adalah satu penghargaan kepada nama Wings yang sudah menghiburkan peminat selama empat dekad.

“Kami ingin memastikan setiap penonton membawa pulang kenangan indah bersama lagu-lagu ikonik Wings. Tambahan pula, jualan tiket kini sudah mencecah 90 peratus terjual.

“Hanya sekitar 10 peratus sahaja baki tiket masih tersedia untuk peminat yang belum membuat pembelian,” katanya juga bertindak sebagai penerbit bersama acara itu.

Tanpa sebarang angin bertiup, Black dan Eddie mengeluarkan kenyataan rasmi mereka berdua ketika ini menarik diri sebagai anggota kumpulan Wings.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top