BAM harap cadangan dipertimbang dalam Belanjawan 2026

BAM harap cadangan dipertimbang dalam Belanjawan 2026

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berharap cadangan yang dikemukakan badan induk itu akan mendapat pertimbangan sewajarnya dalam Belanjawan 2026 yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat, esok.

Beliau berkata pelbagai sesi libat urus diadakan bersama Menteri Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara (MSN) serta Institut Sukan Negara (ISN) bagi memperkukuh hala tuju pembangunan sukan khususnya badminton.

“Dalam sesi libat urus, kita juga berjumpa Menteri Belia dan Sukan bersama MSN dan ISN. Kitamenyuarakan cadangan kita dan pada masa yang sama, melalui KBS, saya harap Kementerian Kewangan dapat memberikan pertimbangan yang sewajarnya.

“Kerana kita dapat lihat contohnya kemenangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei telah membawa satu suntikan semangat nasionalisme, semangat untuk membawa Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi lagi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, hari ini.

Mengulas mengenai peruntukan sukan yang sering menjadi perhatian umum, Tengku Zafrul menekankan kepentingan penglibatan sektor swasta dalam mengukuhkan ekosistem industri sukan negara.

“Saya berpendapat di sinilah pentingnya mendapatkan penglibatan sektor swasta kerana industri sukan adalah satu industri yang besar…perlu lihat bagaimana kita boleh hasilkan keuntungan daripada aset yang kita ada.

“Jadi kita tak boleh bergantung pada kerajaan sahaja…dan bercakap sebagai anggota Kabinet, kita perlu mengutamakan apa yang kita ada dari segi sumber, dari segi hasil,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top