Baitulmaqdis: Kerajaan Israel mengesahkan gencatan senjata dengan Hamas pada Jumaat, membuka jalan untuk menangguhkan permusuhan di Gaza dalam tempoh 24 jam, dan membebaskan tebusan Israel yang ditahan di Gaza dalam tempoh 72 jam selepas itu.
Kabinet Israel bersetuju dengan perjanjian itu pada awal pagi Jumaat, kira-kira 24 jam selepas pengantara mengumumkan perjanjian untuk membebaskan tebusan Israel sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin, dalam fasa pertama inisiatif Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk menamatkan perang dua tahun di Gaza.
“Kerajaan baru sahaja meluluskan rangka kerja pembebasan semua tebusan – yang masih hidup dan yang sudah meninggal dunia,” kata akaun X berbahasa Inggeris Perdana Menteri Israel Netanyahu.
Perang itu berkembang menjadi konflik serantau yang telah mengheret Iran, Yaman dan Lubnan. Ia juga menguji hubungan AS-Israel, dengan Trump seolah-olah hilang sabar dengan Netanyahu dan menekannya untuk mencapai perjanjian.
Rakyat Israel dan Palestin sama-sama bergembira selepas perjanjian itu diumumkan, langkah terbesar untuk menamatkan perang dua tahun di mana lebih 67,000 rakyat Palestin terbunuh, dan mengembalikan tebusan terakhir.
Jurucakap kerajaan Israel berkata, gencatan senjata akan berkuat kuasa dalam tempoh 24 jam selepas persetujuan kerajaan untuk perjanjian itu. Selepas tempoh 24 jam itu, tebusan yang ditahan di Gaza akan dibebaskan dalam tempoh 72 jam.
Dua puluh tebusan Israel masih dipercayai masih hidup di Gaza, manakala 26 dianggap mati, dan nasib dua lagi tidak diketahui.
Hamas membayangkan pemulangan tebusan yang mati mungkin mengambil masa lebih lama daripada membebaskan mereka yang masih hidup.
Di bawah perjanjian itu, pertempuran akan dihentikan, Israel akan berundur sebahagian daripada Gaza dan Hamas akan membebaskan semua tebusan yang tinggal sebagai pertukaran untuk ratusan tawanan yang ditahan oleh Israel.
Armada trak yang membawa makanan dan bantuan perubatan akan dibenarkan masuk ke Gaza.
© New Straits Times Press (M) Bhd



