am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan tidak menetapkan sebarang kuota pembelian petrol kepada individu di Point of Sales (POS) bagi Program Pengedaran Barang Perlu.
Bagaimanapun, kuota berkelompok diberikan berdasarkan jumlah populasi penduduk di kawasan itu bagi menikmati subsidi RON95 pada harga RM1.99 seliter.
Pengarah KPDN Terengganu Azman Ismail berkata, terdapat 63 POS di negeri itu membabitkan Tumpat, Kuala Krai dan Gua Musang dan bekalan petrol yang diberikan untuk setiap premis itu adalah bermula 5,000 liter hingga 44,000 liter sebulan.
“Memandangkan POS tidak dibekalkan alat untuk mengimbas kad pengenalan, pemilik POS merekodkan pembelian petrol menggunakan manual contohnya menanda di buku.
“Penggunaan setiap individu dijangka tidak melebihi kuota 300 liter sebulan termasuk pemandu bot di gugusan pulau di Tumpat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Azman berkata, KPDN juga sudah membuka permohonan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) bagi syarikat bot penumpang bermula hari ini bagi melengkapkan perkhidmatan di stesen minyak selaras pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95.
Sementara itu, pemilik POS di Kampung Teluk Renjuna, Tumpat Mohd Husin Mohammad, 53, berkata, dia akan menanda setiap pembelian petrol dalam buku log yang disediakan.
“Kebanyakan pengguna adalah dalam kalangan pemandu bot penambang memandangkan ia adalah pengangkutan utama di gugusan kepulauan ini namun banyak juga digunakan untuk motosikal walaupun hanya bergerak sekitar kampung sahaja.
“Biasanya pemilik bot akan membuat pembelian sebanyak 10 liter sekali beli dan harga ditetapkan sebanyak RM19.90.
“Biasanya tiada yang menggunakan melebihi 300 liter sebulan lagipun jika membabitkan nelayan, mereka ada subsidi khusus,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




