am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak berkompromi dengan majikan yang gagal mencarum pekerja seperti diwajibkan mengikut Akta KWSP 1991.
Dalam kenyataan kepada Harian Metro, KWSP berkata, pihaknya sentiasa komited melindungi hak serta simpanan hari tua ahli, selain memastikan majikan menunaikan tanggungjawab mereka.
“Majikan sepatutnya bertanggungjawab penuh mengikut Seksyen 43(2) dan Seksyen 48(3) Akta KWSP 1991 dan tindakan penguatkuasaan diambil termasuk pendakwaan jenayah dan sivil terhadap majikan yang ingkar, larangan keluar negara terhadap pengarah syarikat, selain tindakan penyitaan, penjualan aset dan kebankrapan,” kata KWSP.
Menurut agensi itu, antara cabaran utama yang dikenal pasti termasuk tahap kesedaran rendah dalam kalangan majikan serta kekangan dari segi menguatkuasakan tindakan terhadap perniagaan tidak formal atau tidak berdaftar.
Bagi meningkatkan pematuhan, KWSP memperkenalkan pelbagai inisiatif antaranya platform e-Payroll, Employer Interactive Portal (EIP) dan program pemeriksaan bersepadu bersama agensi lain seperti Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Dalam masa sama, KWSP menyeru ahli untuk sentiasa menyemak penyata masing-masing melalui aplikasi i-Akaun atau mendapatkan khidmat nasihat pegawai penasihat persaraan (Relationship and Advisory).
“Jika terdapat ketidakpatuhan, ahli boleh membuat laporan melalui laman web rasmi atau menghubungi Pusat Perhubungan KWSP di talian 03-89226000,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



