am@hmetro.com.my
Putrajaya: Datuk Seri Anwar Ibrahim tersinggung dengan sikap segelintir pihak yang mempertikaikan usaha sukarelawan tempatan menyertai misi membantu rakyat Palestin serta mempersoalkan lawatan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sempena sidang kemuncak ASEAN.
Perdana Menteri berkata, ketika seluruh dunia termasuk Mesir, Qatar dan Hamas memberi tumpuan mencari jalan damai, rakyat Malaysia sepatutnya bersama mendoakan kejayaan usaha itu dan bukannya menimbulkan polemik politik tidak sihat.
“Rakan-rakan kita sembilan orang itu sedang kita urus dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dan kita doakan, insya-Allah mereka akan sampai ke Istanbul. Tumpuan satu dunia sekarang ialah memastikan proses perdamaian ini berhasil.
“Jadi, saya harap janganlah timbulkan bantahan terhadap lawatan dan sebagainya kerana kita juga merayu kepada Presiden Donald Trump supaya memastikan perjanjian ini dimeterai dan dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikam solat Jumaat di Surau Fathurrahman Presint 11, di sini, hari ini.
Anwar berkata, jika Hamas sendiri menunjukkan komitmen ke arah perdamaian, tidak wajar ada pihak dalam negara cuba menimbulkan perbalahan.
“Kalau Hamas pun nak perdamaian, yang kita ajak gaduh ini sebab apa? Orang dibunuh, negeri dijajah, anak-anak kecil dan wanita terus menjadi mangsa. Jadi kita nak hentikan itu dulu,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada sukarelawan Malaysia yang menyertai misi bantuan ke Gaza menerusi flotila kemanusiaan, sambil menyifatkan keberanian mereka sebagai pengorbanan besar.
“Tak semua orang sanggup gadai nyawa bertarung untuk bantu rakyat Gaza. Jadi, kepada yang bantu, kita ucap terima kasih dan doakan mereka,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai sembilan rakyat Malaysia ditahan di Israel kerana menyertai misi kemanusiaan, Anwar berkata, perkembangan mengenai mereka akan diketahui dalam masa terdekat.
“Dia (wakil Turkiye) janji telefon pukul 3.30 petang ini, Jadi, saya umum (perkembangan lanjut) dalam Belanjawan nanti,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, penerbangan yang membawa 95 individu dipercayai aktivis misi Freedom Flotilla Coalition bersama Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) termasuk sembilan rakyat Malaysia dijangka tiba di Turkiye, hari ini.
Perkembangan itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman atau dikenali Nadir Al-Nuri yang mendapat maklumat daripada Kementerian Luar Turkiye.
Terdahulu, Anwar menunaikan solat Jumaat di Surau Fathurrahman, Presint 11 di sini, menjelang pembentangan Belanjawan 2026.
Anwar yang lengkap berbaju Melayu biru menunaikan solat bersama lebih 500 jemaah.
Perdana Menteri turut mendengar khutbah bertajuk ‘Lelaki Qawwam Bukan Sekadar Nama’.
Solat Jumaat diimamkan oleh Uztaz Khairul Anuar bin Mohd Saruwan.
Selepas menunaikan solat Jumaat, Perdana Menteri meluangkan masa bersalaman dan beramah mesra dengan jemaah sebelum beredar.
Perdana Menteri dijadualkan membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen pada jam 4 petang ini.
Anwar sebelum ini menekankan bahawa Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada jam 4 petang ini, bukan sekadar angka dan perbelanjaan.
Sebaliknya, Perdana Menteri menegaskan Belanjawan 2026 yang juga belanjawan keempat bawah pentadbiran Kerajaan MADANI, adalah hala tuju bagi memastikan kerajaan terus membantu rakyat tanpa menambah beban hutang negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




