Berbaki dua tahun sebelum menginjak ke usia 50, cef selebriti dan penyanyi Datuk Fazley Yaakob memberi tumpuan terhadap penjagaan kesihatan dan penampilan diri.
Bukan atas alasan glamor, Fazley mengakui usia hampir menjangkau setengah abad membuatnya lebih sedar tentang pentingnya menjaga tubuh dan minda agar kekal sihat, bertenaga serta mampu menjadi contoh buat anak-anaknya.
“Lagi dua tahun saya akan berusia 50 tahun. Penjagaan wajah, penjagaan diri dan kesihatan tubuh badan sangat penting bagi saya. Sebenarnya, saya sudah mula amalkan gaya hidup sihat sejak 10 tahun lalu.
“Ramai rakan seusia saya telah pergi dulu dan pemergian mereka buat saya lebih berhati-hati serta insaf. Saya mahu kekal sihat dan bertenaga untuk anak-anak,” katanya kepada XTRA.
Menurut pelantun lagu Cerita Asmara ini, usia yang semakin meningkat tidak bermakna seseorang perlu mengabaikan penampilan.
Malah, bagi Fazley, ia adalah cerminan kepada disiplin dan kesejahteraan mental.
“Sebahagian keyakinan diri datang daripada kesihatan mental yang baik. Apabila meningkat usia, menjaga penampilan jadi keutamaan saya. Ia bukan soal nak nampak muda, tapi nak rasa sihat dan yakin,” jelasnya.
Fazley yang juga usahawan dan bapa kepada empat cahaya mata berkata, masih ada pihak yang beranggapan penjagaan diri hanya untuk wanita, satu pandangan yang disifatkannya sudah lapuk.
“Persepsi bahawa penjagaan diri hanya untuk wanita tu pandangan kolot. Masih ada di media sosial yang kecam lelaki buat rawatan wajah atau facial, seolah-olah itu salah dan hanya untuk golongan perempuan.
“Tapi bagi saya, semua orang patut jaga diri, dari rambut sampai ke bau stoking. Zaman sekarang orang mudah menilai. Jadi penampilan dan kebersihan diri itu penting. Bila diri sihat, kita lebih yakin dan tenang,” ujarnya.

Fazley ditemui ketika menghadiri pelancaran kempen BMF x Svenson “Still Me With More”, sebuah inisiatif yang menyeru masyarakat untuk melihat penjagaan diri sebagai keperluan, bukan lagi kemewahan di Intermark Mall, Kuala Lumpur, pada Khamis.
Acara itu turut menampilkan sesi perbualan eksklusif Fazley bersama Prof. Madya Dr. Azmawaty Mohamad Nor, Pensyarah Kanan Psikologi Pendidikan, Universiti Malaya dan kaunselor bertauliah serta aktres jelita Ezzanie Jasny, di mana mereka berkongsi pandangan mengenai keseimbangan mental dan fizikal dalam kehidupan moden.
Sesi tersebut menyentuh mesej penting tentang kaitan antara kesihatan mental dan keyakinan diri, seiring dengan tema Hari Kesihatan Mental Sedunia.
Dalam ucapan pembukaan, Amy Quek, Ketua Pegawai Eksekutif BMF The Aesthetics People, menegaskan kepentingan melihat kecantikan sebagai hasil kesejahteraan dalaman.

“Kesihatan mental amat penting kerana tanpa keyakinan dari dalam, sukar untuk kita melihat nilai diri sendiri. Walaupun kami berada dalam industri kecantikan dan kesejahteraan, tiada rawatan wajah yang dapat menggantikan keyakinan yang datang dari hati,” katanya.
Sebagai Duta Svenson, Fazley turut berkongsi bagaimana dia mengekalkan keseimbangan hidup melalui sukan Muay Thai, muzik dan 8-in-1 Stress Relief Therapy Svenson, sambil menegaskan bahawa kesihatan mental bukan tanda kelemahan, sebaliknya perjalanan ke arah keseimbangan diri.
Kempen “Still Me With More” merupakan usaha bersama BMF The Aesthetics People dan Svenson untuk mendefinisi semula konsep penjagaan diri dengan pendekatan holistic, merangkumi aspek fizikal, emosi dan mental.
Melalui program 8-Minggu Self-Care Edit, pelanggan digalakkan untuk “Reset, Recharge, Recover” menerusi rawatan kulit, badan dan rambut yang menyokong kesejahteraan menyeluruh.




