Pelakon jelita Ezzanie Jasny tampil menjelaskan mengenai perubahan pada wajahnya selepas timbul dakwaan segelintir netizen yang mendakwa dia melakukan pembedahan kosmetik.
Menurut aktres drama bersiri Seindah Hujan Cinta ini, perubahan yang dilihat ramai berpunca daripada gaya hidup sihat, penurunan berat badan dan rawatan wajah, bukannya hasil pembedahan seperti yang disangka.
“Saya tak ‘buat muka’. Saya hanya melakukan rawatan wajah sahaja. Saya mementingkan kesihatan wajah dan badan.
“Sebelum ini, ketika penggambaran drama Layang-Layang Perkahwinan, kalau peminat perasan, penampilan saya agak berisi dan sedikit tembam,” jelasnya.
Kata Ezzanie, selepas tamat penggambaran naskhah terbabit, dia mula menjaga pemakanan dan mengamalkan gaya hidup lebih sihat untuk menurunkan berat badan.
“Sebelum ini saya 58 kilogram dan sekarang berat saya 51 kilogram. Kalau dulu, wajah saya memang nampak tembam di skrin. Jadi saya ambil inisiatif untuk kurangkan berat badan.
“Waktu pagi saya ambil meal replacement, tengah hari saya elak nasi dan hanya makan lauk, serta tak minum minuman bergula. Saya juga kawal pengambilan kalori,” katanya.
Mengulas mengenai tuduhan ‘buat muka’, Ezzanie mengakui dia tidak terkesan dengan dakwaan tersebut, malah berterus terang bahawa dia hanya melakukan rawatan kulit dan penjagaan wajah.
“Bila ada yang mendakwa saya ‘buat muka’, saya tak terkesan. Saya hanya buat rawatan kecantikan seperti rejuran dan skin booster. Kalau rawatan itu, saya memang mengaku. Tapi bukan pembedahan ubah wajah atau ‘buat muka’.
“Alhamdulillah, saya sangat gembira dengan keadaan diri saya sekarang. Saya bangga dengan warna kulit saya yang sawo matang. Tak perlu putih untuk nampak cantik,” katanya lagi.

Ezzanie ditemui XTRA ketika menghadiri majlis pelancaran kempen “Still Me With More” oleh BMF The Aesthetics People dan Svenson, yang berlangsung di Intermark Mall, Kuala Lumpur, bersempena sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia, pada Khamis.
Kempen tersebut membawa mesej penting tentang kesejahteraan diri dan penjagaan holistik dan menyeru masyarakat untuk menjadikan penjagaan diri bukan sekadar kemewahan, tetapi satu keperluan.
Sebagai duta BMF sejak Jun 2025, Ezzanie turut berkongsi pandangannya tentang bagaimana tekanan media sosial boleh mempengaruhi keyakinan diri, namun dia memilih untuk kekal autentik dan bersyukur dengan dirinya sendiri.
“Kini, kecantikan bukan lagi tentang kesempurnaan. Ia tentang keselesaan dan keyakinan dalam diri sendiri,” katanya sambil mengakui bahawa rawatan kulit seperti CFU Face Treatment di BMF banyak membantunya mengekalkan seri wajah walaupun sibuk di set penggambaran.

Sesi perbualan tersebut turut menampilkan Prof. Madya Dr. Azmawaty Mohamad Nor, Pensyarah Kanan Psikologi Pendidikan, Universiti Malaya dan kaunselor bertauliah yang berkongsi kepentingan menjaga kesihatan mental dalam era digital.
Dr. Azmawaty menekankan bahawa tekanan sosial dan perbandingan diri di media sosial boleh menjejaskan kesejahteraan emosi jika tidak dikawal, dan menggalakkan masyarakat untuk lebih empati serta mengambil masa untuk berehat dan menghargai diri sendiri.
Majlis itu turut dihadiri Datuk Fazley Yaakob, duta Svenson yang berkongsi tentang keseimbangan hidupnya sebagai cef, bapa dan usahawan di bawah falsafah “Reset, Recharge, Recover”.




