Remy Ishak Berhati-Hati, Amalkan Cara Elak Gangguan Mistik Selepas Lakon Filem Seram

Remy Ishak Berhati-Hati, Amalkan Cara Elak Gangguan Mistik Selepas Lakon Filem Seram

Pelakon terkenal, Datuk Remy Ishak, bersyukur tidak pernah berdepan kejadian pelik atau gangguan mistik walaupun kerap membintangi naskhah bergenre seram dan misteri sejak akhir-akhir ini.

Ketika ditemui media, Remy atau nama sebenarnya Muhammad Zalimei Ishak, 43, berkata, dia sentiasa berhati-hati setiap kali pulang dari lokasi penggambaran, terutama selepas terlibat dengan produksi berunsur mistik.

“Kadang-kadang bila di set penggambaran, memang ada rasa suasana pelik. Tapi sebab ada anak kecil di rumah, saya lebih berhati-hati.

“Biasanya saya tak terus masuk rumah. Saya duduk dulu di luar dalam 15 ke 20 minit, semak telefon atau media sosial sebelum melangkah masuk. Alhamdulillah, setakat ni semuanya baik-baik saja,” katanya.

Remy ditemui pada malam gala dan tayangan perdana filem Qifarah yang berlangsung di GSC Mid Valley, Selasa lalu.

Menurutnya, hampir semua projek lakonan yang diterimanya kini berkisar pada tema seram dan misteri.

“Kebelakangan ni memang banyak naskhah genre seram saya terlibat. Selain Qifarah yang mula ditayangkan esok, saya juga berlakon dalam filem Mikael yang mengetengahkan elemen supernatural dan mistik, serta Khadam ketiga-tiganya berunsur seram,” ujarnya.

Dalam filem arahan Ghaz Abu Bakar itu, Remy membawa watak Yusoff, seorang lelaki yang dibayangi kisah silam keluarga yang mengamalkan ilmu hitam hingga terperangkap dalam ritual pemujaan rahsia.

Turut membintangi Qifarah ialah barisan pelakon hebat seperti Rita Nadira, Sharifah Sakinah, Liyana Jasmay, Vanidah Imran, Namron dan Esma Daniel.

Filem Qifarah kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 9 Oktober.

Scroll to Top