Rom: Ducati mengumumkan pelumba ujian mereka, Michele Pirro akan menggantikan Marc Marquez yang mengalami kecederaan pada Grand Prix (GP) Australia MotoGP, namun masih belum memutuskan siapa yang akan mengambil alih tempatnya di Malaysia.
Juara dunia tujuh kali itu mengalami kecederaan tulang selangka selepas bertembung dengan pelumba Aprilia, Marco Bezzecchi, pada pusingan pertama GP Indonesia hujung minggu lalu.
Pelumba berusia 32 tahun itu segera pulang ke Madrid untuk menjalani pemeriksaan lanjut, dan didapati mengalami keretakan pada pangkal korakoid serta kecederaan ligamen di bahu kanannya.
Walaupun tidak memerlukan pembedahan, Marc Marquez akan terlepas dua perlumbaan seterusnya iaitu di GP Australia dan Malaysia.
Ducati dalam kenyataannya memaklumkan Pirro akan membuat penampilan perlumbaan pertamanya musim ini sebagai pengganti kepada Marquez pada GP Australia minggu depan.
“Berikutan kecederaan yang dialami Marc Marquez sehingga terlepas dua pusingan seterusnya dalam musim MotoGP 2025, pasukan Ducati Lenovo mengesahkan Michele Pirro akan menggantikannya di perlumbaan Australia.
“Di Litar Phillip Island, pelumba Itali itu – pelumba ujian rasmi Ducati sejak 2013 – akan beraksi dalam Grand Prix ke-70 di kelas perdana dengan menaiki jentera Desmosedici GP.
“Seperti diumumkan sebelum ini, Marc kini sedang menjalani proses pemulihan di Madrid,” kata pasukan dalam satu kenyataan.
Dengan pengenalan peraturan baharu musim lalu, Pirro hanya dibenarkan beraksi sebagai pelumba gantian kerana Ducati tidak lagi dibenarkan menurunkan pelumba ‘wildcard’.
Pengumuman itu juga membuka ruang kepada kemungkinan kemunculan sulung pelumba Kejuaraan Superbike Dunia, Nicolo Bulega dalam saingan MotoGP di GP Malaysia.
Pelumba Itali yang pernah berada di bawah program VR46 milik Valentino Rossi itu mempunyai kontrak dengan Ducati sebagai pelumba ujian bagi saingan Superbike tahun depan.
Dengan musim Kejuaraan Superbike Dunia berakhir hujung minggu depan, Bulega tidak berdepan sebarang pertindihan jadual untuk beraksi di Sepang bersama Ducati.
© New Straits Times Press (M) Bhd




