Warga emas melecur akibat letupan tong gas ketika memasak

Warga emas melecur akibat letupan tong gas ketika memasak

am@hmetro.com.my

Bukit Mertajam: Seorang wanita warga emas dikejarkan ke hospital akibat melecur pada beberapa anggota badan dalam kejadian di rumahnya di Taman Alma, di sini, petang tadi.

Difahamkan ketika insiden jam 4.50 petang itu, mangsa berusia 70 tahun sedang memasak sebelum berlaku letupan kecil yang berpunca dari kebocoran saluran hos tong gas petroleum cecair (LPG).

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM negeri, John Sagun Francis, berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 4.52 petang berhubung insiden berkenaan.

“Apabila tiba didapati kejadian itu membabitkan letupan kecil di bahagian dapur iaitu dari kabinet yang berpunca daripada kebocoran saluran hos tong LPG.

“Seorang wanita berusia 70 tahun mengalami kecederaan akibat melecur tahap satu dan dibawa ke hospital lebih awal sebelum bomba tiba,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Jelasnya, letupan itu turut mengakibatkan sebahagian kecil struktur dapur kediaman terbabit mengalami kerosakan.

“Anggota bomba kemudian melakukan kerja-kerja pengudaraan di kawasan yang terlibat sebelum menyerahkan lokasi kejadian kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top