lizamridzuan@hmetro.com.my
Sejak versi Gran Coupe diperkenalkan pada 2019, BMW 2 Series adalah kesinambungan kepada ciri pemanduan sporty yang ditawarkan dalam kebanyakan model mereka.
Ia membawa DNA ‘The Ultimate Driving Machine’ dalam segmen kompak premium, BMW 218i Gran Coupe Sport tampil dengan gabungan gaya, prestasi, dan keselesaan dalam sebuah sedan empat pintu bersaiz kecil.
Vroom memandu uji model itu baru-baru ini dan dari luar, 218i memukau dengan rekaan gaya coupe yang langsing dan moden.Garisan badan yang kemas bersama gril ‘kidney’ gaya baharu dan lampu hadapan LED yang tajam memberi identiti kuat jenama itu walaupun bersaiz kompak.
Profil sisi yang melengkung lembut menyerlahkan aura sporty tanpa perlu terlalu agresif dengan padanan rim aloi bersaiz 18 inci corak jejari Y menarik.
Di dalam kabin pula, suasana terasa eksklusif walaupun ini model permulaan dalam keluarga BMW namun susun atur papaan pemuka serlah gaya minimalis malah didatangkan dengan kerusi hadapan sport untuk lebih kestabilan ketika pemanduan prestasi.
Gabungan kemasan lembut Veganza dan elemen lampu suasana menjadikan aura dalam kabin lebih dinamik dengan paparan digital meter 10.25 inci mudah dikawal dan sistem infotainmen 10.7 inci dengan keterhubungan Apple CarPlay serta Android Auto menjadikan pemanduan harian lebih praktikal.
Ruang but 430 liter cukup ideal untuk membawa barang keperluan dan boleh ditambah menerusi kerusi penumpang belakang dijatuhkan.
Tapi apa yang benar-benar membezakan 218i adalah pengendalian dengan sterengnya terasa padat dan responsif, memberi maklum balas tepat pada setiap sudut.
Di selekoh, casis kukuh dan imbangan berat yang baik membuatkan kereta ini terasa stabil seolah-olah melekat di jalan raya.
Suspensi 218i ditala dengan keseimbangan menarik antara keselesaan dan ketangkasan terutama di lebuh raya, ia menyerap hentakan dengan baik malah di jalan bandar yang beralun, kabin kekal senyap.
Namun bila dipandu ke jalan berselekoh seperti Jalan Persekutuan dari Kuala Kubu Bharu ke Tanjong Malim, karakter prestasinya nya menyerlah terutama jika ingin memintas kenderaan dengan mod sport memberikan kepuasan tersendiri dengan kuasa lebih agresif dan pertukaran gear lebih pantas.
Daripada aspek kuasa, enjin 1,499 cc tiga silinder pengecas turbo petrol menghasilkan 156 kuasa kuda (hp) pada 4,900 hingga 6,500rpm dan tork 230Nm pada 1,500 hingga 4,600rpm dihantar melalui transmisi Steptronic DCT 7-kelajuan.
Kuasa dihamburkan cukup untuk kegunaan harian dan untuk perjalanan panjang jauh ia juga bertenaga. Malah model ini mampu melakukan pecutan 0 hingga 100km/j dalam sekitar 8.7 saat, dengan penyaluran kuasa yang linear dan halus.
Enjin tiga silinder ini juga mengejutkan daripada segi kehalusan operasi. Walaupun sesetengah mungkin menjangka getaran ketara, BMW berjaya menapisnya dengan baik.
Di bandar, 218i mudah dikawal dan padat serta sesuai untuk lalu lintas Kuala Lumpur yang sibuk dan mod ‘Eco Pro’ menjimatkan bahan api dengan bijak.
Bahagian brek juga cemerlang dengan rasa pedal yang natural dan progresif, tidak terlalu sensitif, tetapi memberi keyakinan tinggi ketika membrek di selekoh tajam atau permukaan basah.
Tambahan pula, sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) seperti Amaran Keluar Laluan dan Bantuan Parkir menjadikan keseluruhan pengalaman lebih mudah dan selamat selain dilengkapi dengan enam beg keselamatan, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengagihan Kuasa-Brek Elektronik (EBD), Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC) dan Kawalan Cengkaman Dinamik (DTC) serta banyak lagi.
Daripada sudut penggunaan bahan api, BMW mendakwa sekitar 5.9L/100km, namun dalam dunia sebenar angka sekitar 6.5L/100km lebih realistik masih menjimatkan untuk sebuah jentera premium.
Tangki 50 liter pula memberikan jarak pemanduan yang jauh bergantung kepada gaya pemanduan dan untuk penulis hampir mencapai 700km.
Secara keseluruhan, BMW 218i Gran Coupe Sport mengekalkan reputasi jenama itu dalam memberikan pemanduan yang mengujakan tanpa mengorbankan keselesaan harian.
Ia mungkin bukan yang paling berkuasa dalam segmen, tetapi keseimbangan yang ditawarkan membuatkan setiap perjalanan terasa bernilai.
Untuk pasaran Malaysia ia ditawarkan pada harga bermula RM241,000 (atas jalan tanpa insurans).
© New Straits Times Press (M) Bhd




