Bandar Gaza: Seorang pegawai kanan Hamas memberitahu AFP pada Sabtu bahawa proses pembebasan 48 tebusan, kebanyakannya warga Israel, yang ditahan oleh pejuang Palestin di Gaza akan bermula pada pagi Isnin.
“Menurut perjanjian yang ditandatangani, pertukaran tahanan dijangka bermula pada pagi Isnin seperti yang dipersetujui, dan tiada perkembangan baharu mengenai perkara ini,” kata Osama Hamdan dalam satu temu bual bersama AFP.
Hamdan menambah, pejuang Hamas di lapangan masih belum memaklumkan pimpinan pergerakan itu berkenaan logistik penyerahan tebusan.
Susulan pemulangan tawanan dari Gaza, Israel akan meneruskan pembebasan kira-kira 2,000 tahanan Palestin dari penjaranya, menurut syarat peringkat pertama perjanjian gencatan senjata yang dimeterai oleh kedua-dua pihak dengan pengantaraan Amerika Syarikat.
Hamdan berkata senarai tahanan Palestin yang dijadualkan untuk dibebaskan masih dalam peringkat rundingan.
“Pejabat hal ehwal tahanan Hamas menyatakan bahawa, setakat ini, proses itu belum dimuktamadkan. Israel masih enggan membebaskan beberapa nama tertentu. Bagaimanapun, delegasi rundingan sedang berusaha sedaya upaya bagi memastikan pembebasan mereka,” kata pegawai itu.
Beliau menambah bahawa senarai akhir akan siap pada malam Sabtu atau selewat-lewatnya pagi Ahad.
Hamdan turut menekankan bahawa di bawah perjanjian itu, lima pintu masuk untuk bantuan kemanusiaan akan dibuka. Beliau berkata lintasan sempadan Rafah antara Semenanjung Gaza dan Mesir akan dibuka semula “untuk pergerakan individu dari kedua-dua arah bermula Rabu depan”.
Itali memaklumkan bahawa lintasan sempadan Rafah akan dibuka semula pada Selasa di bawah seliaan misi pemantauan Kesatuan Eropah (EU), dengan kehadiran polis dari Itali, Sepanyol dan Perancis.
© New Straits Times Press (M) Bhd




