Paris: Erling Haaland menjaringkan hatrik untuk melepasi 50 gol antarabangsa ketika Norway berpesta jaringan 5-0 menewaskan Israel, awal pagi tadi, sekali gus semakin hampir untuk layak ke Piala Dunia buat kali pertama sejak 1998.
Norway, yang kali terakhir beraksi di kejohanan utama pada Euro 2000, kini mendahului Kumpulan I dengan kelebihan sembilan mata berbanding pasukan di tangga kedua, Itali, yang mempunyai dua perlawanan dalam tangan.
Kemenangan besar itu meletakkan Norway kukuh di puncak kumpulan dalam usaha mereka memburu tiket ke kejohanan tahun depan di Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico.
Mereka akan menentang Estonia pada 14 November sebelum menutup kempen kumpulan menentang Itali tiga hari kemudian.
Penyerang Manchester City, Haaland, kini mengetuai senarai penjaring terbanyak kelayakan Eropah dengan 12 gol setakat ini.
Dia juga menjadi pemain terpantas dalam bola sepak antarabangsa lelaki yang mencapai 50 gol untuk negaranya dan kini mengumpul 51 gol dalam hanya 46 penampilan bersama Norway.
Kapten England, Harry Kane, memegang rekod sebelum ini dengan mencapai 50 gol selepas 71 penampilan.
Sebelum sepak mula di Stadium Ullevaal, ratusan penyokong menyertai demonstrasi pro-Palestin sambil melaungkan ‘Bebaskan Palestin’ sebagai bantahan terhadap ‘pembunuhan beramai-ramai’ Israel di Gaza, menurut laporan wartawan AFP.
Presiden Persatuan Bola Sepak Norway, Lise Klaveness, sebelum ini turut menyatakan beliau sedang mendesak agar ‘Israel dikenakan penggantungan’.
Dalam aksi awal, sepakan penalti Haaland berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Israel, Daniel Peretz.
Sepakan itu diarahkan diambil semula kerana pemain Israel memasuki kawasan penalti terlalu awal, namun percubaan kedua Haaland turut ditepis Peretz sekali lagi.
Norway akhirnya membuka jaringan pada minit ke-18 hasil gol sendiri oleh Anan Khalaili, sebelum Haaland menambah jaringan kedua pasukannya apabila meloloskan diri untuk menjaringkan gol dalam sembilan perlawanan antarabangsa berturut-turut.
Tuan rumah meraih gol ketiga pada minit ke-28 selepas Idan Nachmias menjaringkan gol ke gawang sendiri.
Haaland kemudian menambah gol keduanya pada minit ke-63 menerusi tandukan padu hasil hantaran silang Antonio Nusa, sebelum melengkapkan hatrik keenamnya untuk Norway 18 minit sebelum tamat perlawanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




