am@hmetro.com.my
Kota Tinggi: “Arwah anak paling taat, paling baik, setiap kali saya marah dia tidak pernah menjawab cuma dia diam sahaja.”
Itu luahan hati ibu kepada Muhammad Hafizhan Hanafi Nor Haizal, 21, seorang daripada tiga mangsa kemalangan maut membabitkan tiga kenderaan di Lebuhraya Senai-Desaru, semalam.
Suri rumah, Zanaidah Mat Isa, 44, berkata, kali terakhir dia berhubung dengan anak kedua yang mesra disapa ‘angah’ dua hari lalu sebelum kemalangan terjadi.
Katanya, dia tidak menyangka anak kedua daripada tiga beradik yang baru setahun bekerja di RAPID Pengerang pergi dahulu sebelum dirinya.
“Kali terakhir berhubung dua hari sebelum kemalangan, saya hubungi arwah untuk memberitahu motosikal milik ayahnya banyak kena diperbaiki. Arwah kata tidak mengapa nanti dia akan uruskan hal itu. Kemudian arwah maklumkan lapar dan mahu makan nasi, saya minta dia jaga diri dan selepas beri salam arwah letak telefon.
“Saya reda dengan ketentuan Allah SWT. Sebelum ini saya sentiasa pesan, telefon beritahu angah jaga diri elok-elok sebab mak jaga angah dari dulu sampai sekarang cukup susah. Mak sayang lebih angah. Arwah menghidap penyakit asma semasa usia 14 tahun pernah kemalangan patah tulang paha.
“Saya dapat panggilan jam 3 petang daripada polis mengatakan anak kemalangan jalan raya. Jam 5 petang, polis hubungi lagi maklumkan anak sudah meninggal dunia.
“Arwah dan kakaknya, Nurmariana Irwayu, 25, adalah tulang belakang kami dan selalu membantu ekonomi keluarga,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Kota Tinggi di sini, hari ini.
Zanaidah berkata, pada bulan lalu, arwah ada menyatakan mahu pulang selepas dimaklumkan bapanya, Norhaizal Hashim, 53, terbabit kemalangan.
“Sepatutnya pada hari ayah dia kemalangan 10 September lalu, arwah mahu pulang ke Perlis tetapi saya pesan jangan kelam-kabut. Lepas itu dia beritahu tak jadi balik kerana tiada tiket.
“Saya kata tak mengapalah sabar dulu. Ayah pun akan masuk dewan bedah kali kedua nanti kita pakat jaga sama-sama.
“Arwah rapat dengan kakaknya, mereka bagai isi dan kuku. Tidak pernah berenggang dua beradik itu sehinggalah arwah dapat kerja di RAPID Pengerang, Johor,” katanya memaklumkan jenazah dibawa pulang ke kampung halaman dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakong Behor Mengkuang, Arau, Perlis.
Sementara itu, Nurmariana Irwayu berkata, arwah adiknya baru seminggu membeli Volkswagen Golf dan merancang pulang buat kejutan kepada mereka sekeluarga bulan ini.
Katanya, arwah ada ambil gambar stereng kereta dan dihantar ke WhatsApp keluarga kerana teruja dapat membeli kenderaan itu.
“Kali terakhir masa balik Perlis pada hari raya lalu, arwah ada minta saya masak ‘ayam buttermilk’. Saya masakan sebelum arwah bertolak balik ke Johor Bahru.
“Orang kampung tunggu kami untuk bawa pulang jenazah ke Perlis dan semadikan di sana. Saya ucapkan terima kasih kepada orang ramai yang membantu mengeluarkan adik dan rakannya sewaktu kenderaan mereka hampir terbakar dalam kemalangan. Hanya Allah mampu membalas kebaikan mereka,” katanya.
Semalam, tiga mangsa maut dalam kemalangan tiga kenderaan membabitkan Volkswagen Golf, Toyota Fortuner dan Honda CRV di Lebuhraya Senai-Desaru di sini, jam 11.45 pagi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman dilaporkan berkata, Toyota Fortuner yang terbakar didapati membawa rokok seludup.
Beliau berkata, tiga yang maut itu disahkan pemandu dan dua penumpang Volkswagen Golf, dengan dua maut di lokasi kejadian dan seorang lagi ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru.
© New Straits Times Press (M) Bhd



