Bekas Panglima PASKAL kini mahir jahit pakaian

Bekas Panglima PASKAL kini mahir jahit pakaian

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Manjung: Di sebalik ketangkasan dan ketelitian dalam menyusun strategi misi ketenteraan dalam serta luar negara, siapa sangka bekas Panglima Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Muda (B) Datuk Anuar Alias juga kreatif dalam mengubahsuai pakaian bertemakan loreng tentera.

Siapa sangka bekas Komander Pangkalan Lumut iaitu jawatan terakhirnya dalam perkhidmatan angkatan laut mahir menjahit t-shirt dan seluar yang diubahsuai dengan memadankan pelbagai koleksi loreng tentera miliknya sejak bersara tiga tahun lalu.

Menurutnya, sejak menamatkan perkhidmatan selepas 41 tahun menabur bakti kepada negara, beliau menjadikan hobi menjahit sebagai menjadi aktiviti hampir setiap hari.

“Sebagai tentera dan anggota PASKAL, kita memang sentiasa bersedia dalam sebarang tugas jadi pastinya agak kekok kerana rutin harian saya berubah selepas bersara.

“Sebab itu saya habiskan masa dengan pelbagai aktiviti bermanfaat termasuk menjahit.

“Kebetulan saya mempunyai ratusan koleksi pakaian loreng tentera termasuk dari luar negara seperti Amerika Syarikat, Australia, Iran, Korea Selatan, Jepun, Perancis, Poland, Kemboja dan Jerman yang saya kumpul sejak dalam perkhidmatan selepas bertukar dengan rakan negara itu.

“Saya suka sesuatu berbeza jadi saya ubah suai t-shirt seperti ‘ubac’ (t-shirt dengan loreng tentera) dengan mencantumkan loreng dijadikan sebagai tangan baju, malah ada dua loreng berbeza negara saya jadikan sehelai seluar,” katanya kepada Harian Metro.

Datuk kepada 11 cucu itu berkata, beliau juga menjahit jubah, kurta, topi dan alas kaki yang sehingga sudah mempunyai lebih 100 koleksi dengan sebahagian diberikan kepada adiknya untuk diagihkan di rumah anak yatim dan rumah kebajikan .

“Semua pakaian yang dijahit ini hanya untuk dipakai harian dan bukan untuk dijual atau dikomersialkan. Ramai juga mahu buat tempahan baju tetapi saya tolak kerana ini hanya hobi saja, kalau mereka berminat dan sama saiz saya hanya bagi saja.

“Semua kerja dilakukan sendiri daripada memilih kain, memotong, menjahit tepi dan menyiapkan pakaian. Saya boleh menjahit sehelai pakaian dalam sehari dan bagi saya disiplin tentera menjadikan saya mahu kerja sentiasa kemas dan bersungguh selain menepati masa,” katanya turut membela kelulut dan angsa.

Bercerita lanjut, bapa kepada tujuh anak itu berkata, beliau minat menjahit sejak kecil selepas melihat ibunya menjahit pakaian ahli keluarga selain suka melihat orang menjahit termasuk ‘sailoft’ iaitu antara kepakaran TLDM sebagai penjahit namun sudah dimansuhkan.

“Pada 2001 ketika saya cuti sakit selama enam bulan barulah saya mula aktif menjahit menggunakan mesin jahit isteri (Datin Zainon Muzio). Saya biasanya ubah suai baju loreng sendiri, kerana prinsip saya ‘ukur baju badan sendiri’ jadi saya sesuaikan loreng yang besar dengan saiz badan saya,” katanya.

Katanya, beliau turut pernah mencabar diri menjahit kemeja untuk seragam pengawas anak lelakinya yang ketika itu berusia 10 tahun buat pertama kali selain pernah menjahit beg paracut daripada kanvas dan nilon untuk digunakan anaknya ke sekolah.

Berkongsi pengalaman dalam TLDM, Anuar berkata, beliau mula menanam azam bergelar anggota PASKAL selepas memulakan perkhidmatan dalam TLDM dan mengambil masa empat tahun selepas pentauliahan untuk mengikuti pemilihan pasukan khas laut itu.

Katanya, sepanjang berkhidmat dalam PASKAL, beliau menyertai beberapa operasi berisiko tinggi di luar negara termasuk di Somalia selain bertugas sebagai pegawai pemerhati tentera di Angola dalam misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1998.

“Antara situasi diingati apabila menyelamatkan hampir 20 kanak-kanak dari zon bahaya selain terbabit dengan beberapa pertempuran termasuk lori awam diserang hendap menyebabkan pemandu maut. Itu antara adegan yang kemudiannya difilemkan dalam PASKAL: The Movie.

“Perasaan ketika itu cemas tetapi kami perlu bertindak pantas dan tepat untuk menyelamatkan nyawa orang awam. Walaupun ia situasi getir dan mencabar namun pasukan saya tidak gentar, malah saya bersemangat untuk selamatkan orang dan tenteramkan keadaan ketika itu,” kata Tokoh Kemerdekaan Negeri Selangor 2025 itu.

Beliau berkata, kenangan paling manis apabila keberaniannya dihargai dengan dianugerahkan Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) pada 2000, sekali gus menjadikan dirinya wakil tunggal TLDM yang menerima PGB.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top