Isu cukai: Pengecualian cukai 50 peratus lonjak penganjuran sukan

Isu cukai: Pengecualian cukai 50 peratus lonjak penganjuran sukan

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Meskipun tiada kenaikan pelepasan cukai 10 peratus bagi pihak penaja yang tampil menaja arena sukan, namun masih ada berita baik untuk syarikat korporat.

Ia selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pembentangan Belanjawan 2026, Jumaat lalu mengumumkan syarikat yang menganjurkan aktiviti kesenian, kebudayaan, pelancongan serta pertandingan sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa yang membabitkan peserta asing diberi pengecualian cukai pendapatan sebanyak 50 peratus ke atas pendapatan berkanun.

Perkara itu sedikit sebanyak akan membuka minat syarikat korporat untuk mula merangka aktiviti atau penganjuran sukan bagi menikmati insentif berkenaan yang sebelum dilihat agak kurang berminat melabur dalam sukan.

Ini juga membuktikan bahawa industri sukan juga mampu menjana pendapatan besar buat Malaysia dan membantu meningkatkan ekonomi negara.

Menghuraikan perkara berkenaan, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pengumuman Perdana Menteri itu satu berita baik sempena Tahun Melawat Malaysia pada tahun depan.

“Yang paling penting tahun depan adalah Tahun Melawat Malaysia. Jadi kerajaan memperkasakan insentif cukai ini kepada syarikat-syarikat yang mahu menganjurkan pertandingan bukan sahaja kesenian, pelancongan tetapi pertandingan sukan juga akan diberikan insentif (pelepasan) cukai 50 peratus.

“Saya berharap bila syarat-syarat (terperinci) keluar nanti, lebih banyak lagi syarikat seperti Lazada juga akan bantu menganjurkan pertandingan.

“Cuma peringatan kepada yang mahu menganjurkan pertandingan ataupun kejohanan sukan antarabangsa, mereka perlu dapatkan kelulusan menteri dari Kementerian Belia dan Sukan. Jadi kita tak mahu syarikat ataupun persatuan sukan menganjurkan kejohanan antarabangsa tanpa kebenaran kerana ini boleh menjejaskan imej negara kalau perkara-perkara ataupun syarat-syarat penganjuran tidak mencukupi.

“Saya bagi contoh tak ada insurans, tak ada permit daripada PBT (Pihak Berkuasa Tempatan). Yang ini semua akan menjejaskan imej negara. Jadi kita minta mereka mengemukakan permohonan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan acara Lazada Run 2025, hari ini.

Hannah berkata, pelepasan cukai sebanyak 50 peratus itu sememangnya tinggi bagi mendorong penganjuran bertaraf antarabangsa.

“Tetapi kalau ada yang mahu dapat tinggi lagi (pelepasan cukai), mereka boleh tampil sebagai penaja dengan memberi sumbangan kepada Tabung KWASN (Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara).

“Tabung KWASN adalah tabung amanah yang kita gunakan untuk permohonan-permohonan sukan oleh atlet-atlet yang mahu ke luar negara ataupun mahu dana tambahan untuk latihan mereka. Kalau mereka nak bagi (tajaan) dalam Tabung KWASN ini, syarikat akan dapat 100 peratus pengecualian cukai pendapatan.

“Cuma, bila mereka bagi kepada Tabung KWASN, mereka tak boleh kata, ‘Saya adalah penaja sukan hoki’. Ini kerana, Tabung KWASN merangkumi semua sukan,” katanya.

Hannah menjelaskan, pelepasan cukai 10 peratus daripada pendapat agregat syarikat yang menaja arena sukan seperti persatuan, pasukan atau individu setakat ini masih kekal.

Terdahulu Arena Metro melaporkan beberapa pihak termasuk penaja dan tokoh sukan mencadangkan agar kerajaan dapat meningkatkan potongan cukai 10 peratus daripada pendapatan agregat kepada kepada syarikat atau penaja yang mahu menaja arena sukan dalam usaha menarik minat pemain industri melakukan pelaburan lebih besar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top